BERSAMA MENUJU PUNCAK SEJAHTERA
Umum, Tazkirah, Majlis IlmuAugust 1, 2008 6:32 am

MAJLIS ISRAK DAN MIKRAJ BERSAMA ULAMA’ :

PROFESSOR DR.  MUHAMMAD HISHAM SULTAN

Mantan Timb. Rektor Universiti Aali Bait, Jordan

27 Rejab mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan Nabi Muhammad SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj perjalanan Baginda dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha.

Firman Allah SWT bermaksud:

" Maha suci Allah swt yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

(Surah al-Isra’, ayat 1)

Peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. Ia berlaku di tengah-tengah tekanan dan hinaan yang kuat yang dialami oleh Rasulullah dan sahabat daripada kelompok Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Israk Mikraj adalah satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAWpada malam hari, atas kudrat dan iradat Allah SWTdari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha,  lalu kembali semula ke Makkah Mukarramh pada malam yang sama. Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa.

Suatu Majlis Sambutan Israk wal Mikraj Rasulullah saw ini akan diadakan sepertimana ketetapan berikut :

Tarikh    :    02 Ogos 2008  ( Sabtu )

Masa     :    Bermula 5.30 petang.

Tempat  :    Kompleks Yayasan Sofa, Bukit  Sembilan, Kota, Negeri Sembilan.

Acara Majlis :    

5.30 ptg – 6.00 ptg

Majlis Khatam Salawat Dalail al Khairat

Bimbingan : Ust. Abdul Latif & Ust.Abdul Hakim

6.00 ptg – 7.00 ptg

Majlis Periwayatan Kisah Mi’raj dan Hadith yang Berhubung Sanad dengan Nabi Ibrahim A.S .

Disempurnakan oleh : Ustaz Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki.

Penasihat YSNS

7.00 ptg

Jamuan Ringan

7.26 mlm

Solat Maghrib

Selepas Maghrib

Bacaan Maulid Daiba’ie

Bimbingan : Ust.Md.Farid Samad al Hafiz

Pengurus Masjid UIAM

8.42 mlm

Solat Isyak’

 

Syarahan Isra’ dan Mi’raj

Oleh : Prof.Dr.Muhammad Hisyam Sultan

Mantan Timb.Rektor Universiti Aali Bait, Jordan

Selepas Isyak’

Pelancaran Kitab :

لطائف المنن فى شرح حكم أبى مدين 

( Kehalusan Anugerah Syarah Hikam Abi Madyan  )

Oleh : Yang Arif Tuan Mohd Shukor Sabudin

Yang Dipetua YSNS 

 

Ulasan Kitab :

Oleh : Al Fadhil Ustaz Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki

Penasihat YSNS

10.30 mlm

Makan Malam & Bersurai

         


 

                     

                      

MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
Tazkirah, PhotoJanuary 11, 2007 9:31 am

                      Ustaz Abu Ali al-Banjari al-Nadwi (Ahmad Fahmi Zam-Zam) seorang murid rapat al-Marhum Shaykh Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani dan penulis biografi al-Marhum, telah memetik sebuah hadith di dalam bukunya ‘Empat Puluh Hadis Penawar Hati’ yang berbunyi:

“Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. pada satu riwayat yang Baginda meriwayatkan daripada Allah S.W.T. (ertinya dalam hadis qudsi) sabdanya: “Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa lalu ia berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosaku” maka Allah S.W.T. berfirman baginya: “Hambaku melakukan sesuatu yang berdosa lalu ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosanya atau boleh juga menjatuhkan hukuman dengan sebab adanya dosa itu.” Kemudian apabila hamba itu kembali berbuat dosa lalu ia berdoa pula: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku,” maka Allah S.W.T. berfirman: “Hambaku telah melakukan dosa dan ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni segala dosa atau boleh pula menyiksa dengan sebab dosa itu.” Kemudian hamba itu sekali lagi berbuat dosa maka ia lalu berkata: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku”, maka Allah S.W.T. berfirman kepadanya: “Hambaku berbuat dosa dan ia menyedari bahawa baginya ada Tuhan yang mengampuni segala dosa dan boleh menyiksa dengan sebab dosa itu. Sesungguhnya Aku mengampuni segala dosa hambaKu, maka hendaklah ia berbuat sesuka hatinya.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Kemudian, telah memetik Uztaz Abu Ali sebuah hadith lagi yang berbunyi:

“Daripada Anas r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah S.W.T. telah berfirman (dalam hadis qudsi): “Hai anak Adam! Selama engkau masih berdoa dan berharap kepadaKu, Aku mengampuni bagimu akan segala dosa yang ada padamu dan aku tidak peduli (walaupun dosa itu banyak sekali). Hai anak Adam! Jikalau seandainya dosamu itu sampai ke atas awan yang ada di langit, kemudian kamu datang mengharapkan keampunan daripadaKu nescaya Aku berikan keampunan kepadamu. Hai anak Adam! Sesungguhnya jikalau engkau datang kepadaku membawa dosa sepenuh bumi ini, kemudian engkau datang menemui Aku padahal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datangkan kepadamu sepenuh bumi pula keampuanan.” (Hadith Riwayat Tirmidhi).

Imam al- Ghazali telah menulis di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, antaranya:

Telah berkata Hudhayfa: “Saya selalu berkata kasar terhadap keluargaku, jadi saya berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya takut lidah saya akan membawa ku ke neraka.” Berkata Nabi yang mulia: “Bagaimana jika kamu meminta ampun? Saya memohon keampunan Tuhan 100 kali setiap hari.

”‘Seorang lelaki yang tidak pernah melakukan kebaikan melihat ke langit dan berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai Tuhan. Wahai Tuhan, ampunilah aku!” dan Tuhan ‘Azza wa Jalla berkata: “Aku sudah terlebih dahulu memaafkannya.”

“Sekiranya seorang lelaki melakukan dosa, tetapi mengetahui bahawa Tuhan melihatnya, di akan mendapat keampunan walaupun tidak memohonnya.” (Hadith Riwayat Tabarani).

Sayyidina ‘Ali Karamallahu Wajhah telah berkata: Adalah menghairankan aku apabila seorang lelaki boleh hancur apabila ia mempunyai jalan untuk menyelamatkan dirinya.” Apabila mereka meminta beliau untuk menerangkan maksudnya, beliau berkata: “Permohonan untuk keampunan!”.

Tazkirah 8:45 am

Mungkin tajuk ini adalah tajuk ulangan sebelum ini. Tapi kami merasakan penting untuk diri kita dan sahabat-sahabat semua. Jadi, kami ingin berkongsi sedikit ‘ilmu dengan sahabat semua tentang perkara ini.

Junjungan Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Nabi panutan kita telah bersabda lagi yang bermaksud:

Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Bersabda lagi Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w.:

Zikir yang paling baik ialah kalimah لا إله إلا الله” (Hadith Riwayat al-Tirmidhi).

Bahawasanya seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya syari’at Islam sudah banyak saya terima, maka terangkanlah kepada saya sesuatu yang mudah dikerjakan. Nabi menjawab: Hendaklah lidahmu basah dengan zikir Allah.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak berkumpul sesuatu kumpulan dalam rangka berzikir kepada Allah melainkan memeluk akan mereka itu malaikat-malaikat, dilindungi atas mereka rahmat, dan turun ke atas mereka ketenangan dan mereka dingat akan Allah Ta’ala di hadapan makhluk yang banyak pada sisiNya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Berkata Ibnu Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab al-Hikamnya:

Janganlah engkau meninggalkan zikir kerana semata-mata engkau belum benar-benar ingat kepada Allah sewaktu berzikir, sebab kelalaianmu kepada Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalainmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Semoga Allah menaikkan darjatmu melalui zikir yang kamu lakukan dengan lalai, kepada zikir yang penuh sedar kepada Allah. Kemudian ia meningkat pula kepada zikir yang penuh sedar serta ingat kepada Allah kepada zikir yang disertai rasa hadir. Selepas itu ia terus meningkat daripada zikir yang disertai rasa hadir kepada martabat zikir sehingga lupa terhadap sesuatu selain Allah. Hal yang demikian adalah tidak sukar bagi Allah.”

Semoga kita dapat mencapai martabat zikir yang terakhir itu.

 

لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة و نفس عددما و سعه علم الله

 

( rujuk asal drpd malakian.blogsome )