BERSAMA MENUJU PUNCAK SEJAHTERA
Umum, ArtikelFebruary 13, 2007 5:53 am

Dosa Umpat Kekal Jika Tak Diampun Mangsa :

            MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. 

             Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, " Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

             Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

             Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

             Sabda Rasulullah s.a.w : "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

            Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah bermaksud : " Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

            Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

           Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini. Antaranya ialah:

• Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

• Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

• Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

( Oleh Wan Marzuki Wan Ramli )

Umum, ArtikelJanuary 30, 2007 7:19 am

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Banyak Peristiwa Besar Berlaku Pada 10 Muharam dan Berganda Perkara Sunat

           BANYAK peristiwa penting berlaku pada 10 Muharam yang menunjukkan kebesaran Allah. Antara peristiwa itu adalah Allah menerima taubat Nabi Adam, Allah menyelamatkan Nabi Musa daripada tenggelam di laut apabila dikejar Firaun dan tenteranya serta Allah selamatkan Nabi Ibrahim daripada dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud.

            Pada tarikh itu juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya daripada ombak besar yang melanda bumi dan Allah menyelamatkan Nabi Yunus yang tidak henti berzikir selama 40 hari dalam perut ikan nun. Justeru, hari yang dinamakan Hari Asyura itu sewajarnya dijadikan permulaan baik untuk menempuh tahun baru 1428 Hijrah dengan memperbanyakkan amalan sunat yang dianjurkan seperti berpuasa dan bersedekah. Amalan baik dianjurkan pada 10 Muharam tidak terhad kepada puasa sunat dan memasak bubur Asyura.

           Apa juga amalan baik boleh dilakukan pada hari itu dan hari seterusnya pada Muharam kerana banyak amalan dianjurkan Islam untuk dilaksanakan umatnya sepanjang bulan ini. Masyarakat perlu faham keperluan atau apakah diharapkan daripada mereka apabila disarankan melaksanakan amalan sunat pada hari tertentu seperti dianjurkan Islam. Amalan sunat boleh diibarat seperti aksesori tambahan pada kereta. Ada badan, tayar, enjin dan stereng, kereta boleh jalan.

          Tetapi apabila ditambah sport rim dan sarung kulit, maka kereta nampak lebih cantik dan menambah nilai kenderaan itu. Begitu juga ibadat wajib seperti solat dan puasa, jika tidak ditambah dengan amalan sunat, bukan tidak elok tetapi tidak cantik. Untuk mencantikkan, kita banyakkan amalan sunat. Walaupun peristiwa besar banyak berlaku pada 10 Muharam, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat sepanjang bulan pertama kalendar Islam itu yang juga termasuk dalam empat bulan diharamkan Allah berperang.

           Amalan puasa sunat 10 Muharam mengambil iktibar daripada puasa dilakukan Nabi Musa sebaik terselamat daripada dikejar Firaun dan tenteranya, juga puasa Nabi Nuh yang diselamatkan daripada banjir besar. Biarpun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi. Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, Rasulullah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu bertanya kenapa mereka berpuasa pada hari itu? Orang Yahudi menjawab, mereka berpuasa sebagai mengenang hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun dengan askarnya, maka Nabi Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari itu. Maka Rasulullah berkata: "Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu." Lalu Baginda berpuasa dan menyuruh sahabatnya agar berpuasa juga pada hari itu.

       

            Kebetulan 10 Muharam tahun ini jatuh pada semalam, jadi sebaiknya kita berpuasa semalam dan hari ini atau hari ini dan esok. Ia bagi mengelakkan kita meniru puasa orang Yahudi.Tetapi jika hendak buat semalam saja pun tidak mengapa kerana niat kita lain dengan mereka.

          Berpuasa pada Hari Asyura sangat besar pahala seperti hadis yang diriwayatkan Al-Imam Muslim daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Akan digantikan kejahatan pada tahun sebelumnya dengan kebaikan (dengan sebab puasanya itu)." Selain puasa sunat, amalan baik yang dikerjakan ulama ialah solat sunat 10 Muharam yang dilakukan selepas solat fardu kecuali selepas Subuh dan Asar. Selepas solat sunat, digalakkan membaca doa bermaksud: "Allah yang memelihara, sebaik-baik penolong, sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik memberi pertolongan” atau dengan membaca doa dianjurkan Saidina Ali yang memohon Allah menunjukkan jalan lurus, dijauhkan bala bencana dan dikabulkan hajat.

          Begitu juga dengan amalan memasak bubur Asyura untuk disedekahkan, seeloknya tradisi itu diteruskan sebagai pengerat silaturahim antara saudara dan jiran tetangga. Secara tidak langsung kegiatan seperti itu memupuk kemesraan dan menggalakkan orang kaya bersedekah kepada fakir miskin. Masyarakat hari ini perlu peka dan meraikan Hari Asyura dengan amalan meningkatkan iman mereka.

INFO

Peristiwa penting pada 10 Muharam

• Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

• Nabi Idris diangkat Allah ke langit.

• Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari bahteranya sesudah bumi d ditenggelamkan selama enam bulan.

• Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar Raja Namrud.

• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

• Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara

• Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob.

• Nabi Isa diangkat ke langit.

• Nabi Ayub dipulihkan Allah daripada penyakit kulitnya

• Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

• Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.

• Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.

• Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

• Hari pertama Allah mencipta alam.

• Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

• Hari pertama Allah menurunkan hujan.

• Allah menjadikan Arasy.

• Allah menjadikan Luh Mahfuz.

• Allah menjadikan Malaikat Jibril.

Wallahu aqlam.

Umum, ArtikelJanuary 19, 2007 7:51 am
            

               Mudah-mudahan tahun hijrah 1428, yang  menjelang tiba petang ini, membawa kebahagiaan buat kita  dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah.  

            Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnu Jauzi ( bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah ) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w.

Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikan Nya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

        Sempena  semangat Tahun Baru Hijrah 1428 ini , kami  siarkan di sini dua shighah Sholawat Syifa` atau dikenali juga sebagai Sholawat Thibbiyyah yang masyhur. Dinamakan sedemikian yang membawa erti penawar atau ubat kerana dalamnya terkandung tawassul kita dengan Junjungan Nabi s.a.w. yang diumpamakan sebagai keafiatan bagi segala tubuh dan penawarnya, cahaya bagi segala mata dan sinarnya, makanan bagi segala roh dan santapannya.

            Imam ‘Arif billah Sayyid Syaikh Ahmad ash-Showi dalam mensyarahkan makna sholawat ini telah membuat kesimpulan antaranya:-

" Maknanya secara menyeluruh ialah bahawasanya Allah Ta`ala menjadikan atas tangan baginda s.a.w. (sebab) untuk menolak kemudaratan yang zahir dan yang batin, yang berupa urusan akhirat maupun urusan dunia, sebagaimana telah dijalankan (dijadikan) atas tangan baginda (sebab bagi) berbagai manfaat. Inilah maknanya tashrif Allah bagi baginda di dunia dan di akhirat, atas batasan yang difirmankan Allah ta`ala pada hak Nabi ‘Isa a.s.: "Dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu" (surah al-Maaidah:110), maka apa yang tsabit berlaku pada Sayyidina ‘Isa a.s., maka ianya juga (harus terjadi atau dijadikan) bagi Junjungan Nabi s.a.w. dengan berlebih lagi."

            Sholawat ini telah lama beredar dan diamalkan masyarakat Islam, bukan sahaja di rantau kita tetapi juga di benua-benua lain di mana ada umat yang beriman. Diamalkan bukan sahaja oleh masyarakat awam, tetapi juga oleh para ulama ikutan, bahkan mereka menganjurkan pembacaannya untuk ubat hati dan afiat badan dan cahaya mata. Inilah antara kelebihan mengamalkan sholawat yang berkat ini menurut kata ulama kita. 

            Selain memperolehi keutamaan bersholawat, kita akan dilindungi Allah dari penyakit-penyakit, sama ada penyakit hissi maupun penyakit maknawi yang lebih kronik lagi, insya-Allah wa bi idznihi demi kemuliaan Junjungan s.a.w. yang kita sebut-sebut dalam sholawat tersebut sebagai wasilah untuk tujuan itu.

          Renungilah tulisan Ustaz Abu ‘Ali al-Banjari Ahmad Fahmi al-Maliki dalam muqaddimah untuk terjemahannya bagi Qasidah Burdah yang berkat:-

" …. Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda dan dengan berkat Baginda yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."

            Dan satu kelebihan lagi Sholawat ini ialah sebagaimana apa dikatakan oleh Tuan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani:-

"  Dan setengah daripadanya ini shighah (yakni shighah Sholawat Syifa`) yang amat baik, sayogia dijadikan penawar bagi segala isim dan dzikir yang panas-panas. "

Dipanjangkan dari bahrusshofa.blogspot

Wallahu aqlam.

Umum, ArtikelJanuary 18, 2007 4:55 am

 

Oleh: ABD. RAZAK ABU CHIK @ Utusan Malaysia ( 18/01/07 ):

                  Pada petang Jumaat dan Sabtu malamnya, Insya-Allah kita akan bermula untuk menyambut Tahun Baru Hijrah 1428. Jadi kita bertuah kerana dalam tempoh hanya tiga minggu kita dapat merayakan dua kali tahun baru. Pada tahun depan pula kita akan merayakan dua tahun baru dalam tempoh cuma 10 hari. Pada tahun seterusnya pula kita dijangka merayakan dua tahun baru selang satu atau dua hari saja.

                   Persoalan yang sering timbul ialah mana satu kita hendak pakai? Tahun Hijrah atau tahun Masihi? Dalam hal ini kita boleh menggunakan salah satu daripadanya. Walaubagaimanapun, adakah ini hal yang terbaik untuk kita ? Kita harus membuat kajian terperinci setiap hal yang berkaitan dengan kedua tahun ini….

                  Tahun Hijrah adalah berdasarkan bulan, manakala tahun Masihi pula berdasarkan matahari. Antara bulan dan matahari, kedua-duanya sama penting kepada kehidupan kita. Di sebelah siang, matahari menyinari kehidupan kita. Pada waktu malamnya pula bulan yang sudi menyuluh kegelapan yang kita hadapi.

                   Dalam hal ini, kita selalu teringat bait-bait puisi yang sering kita lafazkan ketika tibanya Maulidun Nabawi atau Maulidur Rasul. Bait-bait puisi ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:

Anta Syamsun Anta Badrun

( Kaulah umpama matahari dan kaulah umpama bulan )

Anta Nurun Fauqa Nuri

( Kaulah umpama cahaya di atas cahaya )

                  Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran, berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.

                   Allah berfirman, Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan seperti mana dalam kitab Allah pada hari di mana Allah menjadikan langit dan bumi ini. Antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). (at-Taubah: 36) Sehubungan itu kita dapat perhatikan semua tahun sama ada tahun Hijrah, tahun Masihi, tahun Arab, tahun Cina, tahun India dan apa jua perkiraan tahun memiliki 12 bulan.

                   Selain itu, jika kita menganalisis ayat al-Quran kita dapati perkataan shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali. Antaranya ialah ayat yang sering dibaca ketika bulan Ramadan iaitu dalam Surah al-Qadr yang bermaksud, Lailatul qadar lebih baik daripada 1,000 bulan.

                

    Sempena sambutan Maal Hijrah ini marilah kita merenung sejenak kedudukan umat Islam sekarang. Dalam minggu ini suasana masyarakat Islam di Malaysia ialah mereka banyak mengadakan perayaan sambutan Maal Hijrah sama ada di masjid atau di surau. Antara aktiviti yang paling popular ialah aktiviti ceramah tentang peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah. Kebanyakan penceramah akan menyampaikan cerita tentang perjalanan penuh ranjau ke Yathrib (Madinah) yang dilalui oleh Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar.

                   Antara slot yang sering difokuskan ialah peranan labah-labah yang telah membuat sarang sebaik sahaja Nabi dan sahabatnya memasuki gua Thur. Langkah labah-labah tersebut menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berminat masuk ke dalam gua tersebut kerana merasa yakin bahawa tiada orang dalam gua kerana ada sarang labah-labah. Pada fikiran mereka, jika ada orang yang masuk sudah tentulah sarang tersebut terkoyak. Sehubungan itu, labah-labah dianggap sebagai binatang yang mulia kerana menjadi penyelamat. Oleh itu, tidak hairanlah kalau gambar labah-labah dijadikan lambang utama atau ikon bagi sambutan Maal Hijrah di Malaysia.

                   Tahukah anda, bahawa peranan yang dimainkan oleh labah-labah tersebut telah menarik perhatian para saintis Barat. Di ketika masyarakat Islam di Malaysia masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah. Antara hasil dapatan yang diperolehi ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Setelah dibuat perbandingan didapati bahawa baju daripada air liur labah-labah didapati lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli.

                   Hasil kajian ini, Barat membuat tindakan drastik. Mereka pun membuat projek mega dengan menternak labah-labah secara besar-besaran dan membina kilang memproses air liur labah-labah. Di samping itu kajian ilmiah tentang rahsia labah-labah diteruskan dari semasa ke semasa. Hari ini, negara-negara Barat seperti Britain menggunakan teknologi ini dalam bidang pertahanan. Mereka begitu yakin dengan fungsi labah-labah yang menjadi benteng yang kuat sehinggakan pihak musuh tidak dapat menyerang Nabi dan sahabatnya.

                   Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat Islam di Malaysia dan para saintis di Barat? Masyarakat Islam di Malaysia hanya berminat dengan kisah-kisah perjuangan Nabi tetapi rata-ratanya masih lagi kurang berminat untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Para saintis di Barat sangat berminat mengkaji sirah Nabi dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Sehubungan itu, siapa yang lebih menghayati Maal Hijrah?

                   Tahukah Anda ?

                   Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim. Jika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari). Jika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).

                   As-habul Kahfi ( sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua ) tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut ( thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a ) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.  Wallahu aqlam

… MoNoLoG….AnAloG….

( … di dalam menghayati dan mengenangi episod-episod  dan peristiwa lalu, kehidupan sepanjang tahun yang lalu ( 2006 ), tetiber lamunan ini  terhenti kepada  suatu kenangan semasa Seminar Ahli  Sunnah wal Jamaah yang pernah di adakan di Kuantan dan juga  di UIA pada Ogos/September  2006 ) berkaitan dengan satu tajuk di Seminar itu,  Hadis Jariah …. lalu terbaca juga beberapa artikel daripada kalangan rakan-rakan …. )

Hadits Jariah - Imam Muslim

 

Antara dalil yang biasa dikemukakan oleh puak hasywiyah bagi menetapkan Allah bertempat di langit ialah Hadits Jariah. Maka dijajalah hadits ini ke sana ke mari untuk menegakkan pegangan mereka bahawa Allah itu mengambil tempat di langit, subhanAllah. Maka ramai, kalangan awam terpengaruh dengan kalam fahisy mereka ini, serta beri’tiqad bahawa Allah itu di langit, subhanAllah. Tidaklah mereka mengetahui bahasan dan penjelasan dan keterangan daripada para ulama kita berhubung dan mengenai hadits tersebut, sama ada kerana memang mereka tidak mengetahuinya atau sengaja buat-buat tak tahu. Ulama-ulama kita sebenarnya telah membahaskan dengan panjang lebar akan hadits ini dari segala aspeknya, baik sudut riwayat dan thuruqnya, sehinggalah kepada perbezaan lafaznya antara satu riwayat dengan riwayat yang lain kerana Hadits Jariah ini mempunyai riwayat yang berbilang-bilang.
Untuk posting ini aku nukil yang diriwayatkan Imam Muslim dalam “al-Jami` ash-Shohih” jilid 1, juzuk 2, halaman 70 - 71, kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih. Ianya adalah sebahagian daripada hadits yang panjang yang menceritakan kisah Sayyidina Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy r.a. mentasymit seseorang yang bersin ketika bersholat di belakang Junjungan Nabi s.a.w., lalu selesai sholat dia ditegur oleh Junjungan Nabi s.a.w. dengan menyatakan bahawa dalam sholat tidak boleh berbicara selain daripada tasbih, takbir dan pembacaan al-Quran. Setelah itu Sayyidina Mu`aawiyah telah bertanya beberapa persoalan kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan di antaranya ialah mengenai permerdekaan seorang hambanya (jariahnya) yang telah ditempelengnya. Untuk ringkas aku tidak nukilkan keseluruhan hadits tersebut, cuma aku letakkan di sini bahagian akhirnya berhubung dengan kisah jariah tersebut.

Pada halaman 71, jilid 1, juzuk 2 kitab tersebut, Imam Muslim rhm. meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:

” (Telah berkata Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy) Aku mempunyai seorang jariah yang menggembala kambingku di sebelah bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing dari gembalaannya. Dan aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Junjungan Nabi s.a.w. dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (yakni menampar muka si jariah tersebut). Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulallah, adakah kumerdekakan dia”, (yakni sebagai menebus kesilapan menampar tadi, dia hendak memerdekakan si jariah tersebut) ? Junjungan Nabi s.a.w. menyuruh agar si jariah didatangkan kepada baginda. (Apabila si jariah berada di hadapan Junjungan Nabi s.a.w.), Junjungan Nabi s.a.w. bertanya kepadanya: “Di manakah Allah ?” Jariah tersebut menjawab: ” Di langit.” Junjungan s.a.w. bertanya lagi: “Siapakah aku?”, jariah tersebut menjawab: “Engkau Rasulullah.” Junjungan bersabda: “Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman.”

Itulah matan hadits mengenai jariah tersebut, manakala di pinggir atau tepi halaman yang sama tercatat nota tepi seperti berikut:

Perkataannya (yakni perkataan dalam matan hadits) - “Dia (si jariah) berkata: “Di langit,” - yakni (sebagai membuktikan) bahawasanya dia bukan termasuk dalam golongan yang menuhankan selain Allah yang Maha Gagah yang kegagahan dan keperkasaanNya mengatasi segala hamba dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya. Dan dikatakan bahawasanya tafsir bagi firman Allah : “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu …” (al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), tafsir “Dia yang di langit” itu ialah Allah ta`ala dengan takwil kekuasaanNya (yakni ditafsirkan dengan takwil seperti dikatakan “Allah yang (kekuasaanNya) di langit” atau “Allah yang (pusat kekuasaanNya atau pemerintahanNya) di langit”, bukan hanya ditafsirkan dengan semata-mata makna “Allah yang di langit”)

Sekarang, mari ikhwah lihat apa perkataan Imam an-Nawawi rhm. berhubung hadits ini. Komentar Imamuna an-Nawawi ini terdapat dalam syarahnya yang masyhur atas Shohih Muslim iaitu “Shohih Muslim bi syarhi al-Imam an-Nawawi”, jilid 3, juzuk 5, halaman 24, di mana Imam an-Nawawi menyatakan, antara lain:-

Sabda Junjungan Nabi s.a.w. (”Di manakah Allah ?” Jariah tersebut menjawab: ” Di langit.” Junjungan s.a.w. bertanya lagi: “Siapakah aku?”, jariah tersebut menjawab: “Engkau rasulullah.” Junjungan bersabda: “Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman.”). Hadits ini adalah daripada hadits-hadits sifat yang dalam memahaminya ada 2 mazhab (jalan atau cara) yang mana kedua-duanya telah dinyatakan terdahulu dalam kitab al-iman (yakni pada awal atau permulaan kitab).

Jalan yang pertama ialah beriman dengannya (yakni dengan hadits tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan i’tiqad bahawasanya Allah ta`ala itu tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadits tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadits tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tawhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersholat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang sholat. Atau si jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (yakni di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: “Di langit,” diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tawhid dan bukannya seorang penyembah berhala (yakni jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).

Telah berkata al-Qaadhi ‘Iyaadh: “Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya (qaathibatan), ahli-ahli fiqh mereka, ahli-ahli hadits mereka, ahli-ahli kalam mereka, para pemuka dan pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu,…..( al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman) dan ayat-ayat yang seumpamanya tidaklah diertikan atau dimaknakan secara zahir bahkan ditakwilkan di sisi mereka semua (yakni semua umat Islam, salaf dan khalaf semuanya mentakwilkan nash-nash ayat dan hadits tersebut, cuma kebanyakan ulama salaf mentakwilkannya secara ijmal sahaja dan mentafwidhkan makna hakikinya kepada Allah semata-mata, sekali-kali tidak mereka berpegang dengan makna zahir ayat dan hadits tersebut, bahkan mereka takwilkan maknanya dengan mengakui kelemahan fikiran mereka untuk memahami makna hakikinya lalu mereka mensucikan Allah dari menyerupai makhlukNya serta menyerahkan bulat-bulat makna dan pengertian ayat atau hadits tersebut kepada Allah s.w.t. sahaja, manakala kebanyakan ulama khalaf mentakwilkannya dengan tafshil).

Diharap ikhwah yang budiman boleh memahami akan perkara ini dengan sebenar-benar faham. Jelas sudah mengikut Imam an-Nawawi yang menukilkan kalam Qadhi ‘Iyaadh yang menyatakan bahawa dengan ayat-ayat atau hadits-hadits sifat yang mutasyabbihat, maka ianya ditanggapi dengan 2 cara atau kaedah, iaitu ditakwilkan secara ijmal dengan mentanzihkan Allah daripada menyerupai makhlukNya yang baharu dan ditafwidhkan maknanya terus kepada Allah semata-mata, tanpa sebarang komentar. Ini yang diisyaratkan oleh Imam Ibnu Hajar al-’Asqalaani yang menyebut dalam “Fathul Bari” bahawa Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang shohih daripada Imam Ahmad bin Abi al-Hawaari bahawasanya Imam Sufyan bin ‘Uyainah rhm berkata: “Segala sifat yang difirmankan Allah bagi diriNya dalam al-Quran, maka tafsirannya ialah pembacaan ayat tersebut dan diam daripada membicarakannya.” Hal ini jugalah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam “Fatawa Haditsiyyah” yang menyatakan bahawa sesungguhnya khilaf ulama salaf dengan ulama khalaf hanyalah pada penggunaan takwil tafshil sahaja, di mana ulama salaf lebih mengutamakan takwil secara ijmal dan mendiamkan diri daripada berbicara lebih lanjut mengenainya kerana keelokan zaman mereka itu menyebabkan perbahasan panjang lebar mengenai hal ini tidak diperlukan. Tetapi para khalaf mengutamakan takwil secara tafshil kerana zaman mereka telah banyak manusia-manusia yang rosak, ahli-ahli bid`ah dan sebagainya.

                     Untuk memperjelaskan lagi, yang dimaksudkan dengan takwil ijmal itu ialah lencongan makna kalimah dengan ringkas tanpa memberi erti alternatifnya. Contoh, kalimah al-yad yakni tangan, jika dikatakan “Tangan Allah atas segala tangan mereka”, maka takwil ijmalnya ialah kalimah tangan di sini dilencongkan maknanya dari pengertian biasa sebagai satu anggota atau satu juzuk tubuh badan kepada makna selain pengertian biasa tersebut, iaitu ianya bukan membawa erti satu anggota atau satu juzuk daripada Dzat Allah yang Maha Mulia, tetapi ianya adalah satu sifat yang tidak kita ketahui akan hakikatnya dan Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya. Maka tangan yang asal maknanya satu juzuk anggota dilencongkan maknanya kepada satu sifat yang lemah akal kita untuk memahami hakikatnya. Inilah takwil ijmal perlakuan kebanyakan salaf. Tidaklah mereka beri’tiqad bahawa Allah itu bertangan dengan tangan yang layak bagi Dzatnya. Ini bukan i’tiqad para salaf, tetapi i’tiqad orang-orang yang mengaku salaf zaman ini. Bila salaf kata tangan Allah, ia merujuk kepada satu sifat dan bukan satu juzuk atau satu anggota daripada Dzat yang Maha Mulia, subhanAllah, Maha Suci Allah daripada berjuzuk-juzuk dan beranggota-anggota. Kaedah ini memang lebih selamat (aslam), kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, tetapi bagi kalangan awam yang hanya duduk mendengar - dengar sahaja mungkin dikhuathiri membawa fitnah kerana awam akan memahami kalimah tangan itu dengan makna lazim iaitu satu anggota, lalu beri’tiqadlah si awam bahawa Allah juga beranggota kerana mempunyai tangan, cuma tanganNya tidaklah seperti tangan makhluk, iaitu tangan yang layak bagi DzatNya, subhanAllah, ini tidak lain melainkan i’tiqad hasywiyah dan mujasimah yang mentasybih serta mentajsimkan Allah, subhanAllah. Oleh itu, apabila sampai zaman khalaf, di mana manusia-manusia terutama golongan awam sudah mengutamakan dunia daripada akhirat, di mana banyak juhala` berbanding ‘ulama, maka para Khalaf yang merupakan pewaris para salaf mentakwilkan ayat-ayat dan hadits-hadits mutasyabbihaat ini dengan takwil tafshil demi menutup jalan bagi awam untuk berfikir yang bukan-bukan terhadap Dzat Allah yang Maha Mulia. Maka ditakwilkan tangan itu kepada kekuasaan dan sebagainya, maka bila dikatakan “Tangan Allah di atas segala tangan mereka”, ditakwilkanlah secara tafshil sebagai “Tangan yakni kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan mereka”. Maka terhindarlah orang awam daripada berfikir yang bukan-bukan, oleh itu dikatakan bahawa jalan khalaf ini lebih ahkam yakni lebih mantap kerana ianya memantap dan menetapkan pegangan awam serta mencegah mereka daripada mengkhayal-khayalkan sifat yang tidak layak bagi Allah, seperti menyerupai akan segala makhluk yang baharu.

                    Harap segala ikhwan, baik lelaki maupun perempuan, khuntsa pun jika ada, faham betul-betul akan bahasan ini. Jika masih belum faham, maka diam itu keselamatan sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. : man shomata najaa (yakni “Sesiapa yang mendiamkan diri, selamat”), dan duduklah tuan dan puan, sidi dan siti di hadapan para ulama tuan-tuan guru dengan mengaji menadah segala kitab peninggalan para ulama salaf dan khalaf. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, bertambah ilmu nescaya bertambah cahaya, insya-Allah, tapi syaratnya hendaklah ilmu yang naafi` yang bermanfaat, bukan ilmu semata-mata ilmu untuk berjidal dan bermegah-megah.

Berbalik kepada hadits jariah tadi, maka selain penjelasan di atas, ada lagi penjelasan dan keterangan lain daripada para ulama kita dari berbagai aspek bahasannya. Dari semua penjelasan tersebut, maka mereka menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan oleh hadits tersebut bukanlah menetapkan tempat bagi Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu bertempat di sesuatu tempat seumpama langit, maka menyalahilah dia akan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, jadi janganlah dok perasan bahawa dirinya pembela Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dan tidaklah tepat baginya untuk menjadikan hadits jariah ini sebagai hujjah untuk mensabitkan bahawa Allah bertempat di langit. Apatah lagi hadits ini walaupun shohih tidaklah mencapai darjat mutawatir. Maka apa caranya dia hendak menjadikan hadits ini sebagai hujjahnya untuk menyesatkan orang yang tidak sependapat dengan i’tiqad hasywiyahnya itu. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang telah ditekan dan diperjelaskan oleh mantan Mufti Tunisia, Syaikh Muhammad Mukhtar as-Salaami (hafizahUllah).

Bahkan, jika dilihat “Shohih Muslim”, kita dapati bahawa Imam Muslim rhm sendiri tidak meletakkan hadits ini dalam kitab al-iman atau bab-bab yang berhubung dengan keimanan dan pegangan aqidah tetapi beliau meletakkannya dalam bab fiqh berhubung hukum hakam sembahyang iaitu kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih (kitab mengenai masjid-masjid dan tempat-tempat sembahyang, bab haram berkata-kata dalam sembahyang serta menasakhkan riwayat yang mengharuskan berkata-kata dalamnya). Maka isyaratnya ialah hadits ini hanyalah untuk dijadikan hujjah dalam bab-bab fiqh semata-mata. Menjadikannya sebagai hujjah dalam mensabitkan secara qathi`e akan usul aqidah menunjukkan lemahnya si penghujjah itu daripada memahami uslub dan kaedah dalam menetapkan ‘aqidah pegangan umat ini. Oleh itu, jika datang kepada ikhwah akan orang yang hendak berhujjah untuk menetapkan Allah bertempat di langit dengan hadits ini, maka katakanlah kepadanya dengan lemah-lembut dan elok perkataan “keribang rebus, pegi belajar lagik…..” dengan nada yang lemah lembut….hehehe….jangan marah noooo…. melawak jee. ( drpd bahrus shofa )

Allahu a’lam