Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI, utusanN9@utusan.com.my
![]() |
REMBAU 7 Jun - Jika sebahagian pelajar menghabiskan cuti persekolahan dengan melepak di pusat beli-belah, duduk di kaki lima kedai atau berseronok di pusat siber, kanak-kanak berusia tujuh hingga 13 tahun ini tidak begitu.
Seramai 80 pelajar berusia dalam lingkungan berkenaan memilih untuk menyertai kursus motivasi solat anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) di Kompleks YSNS di sini baru-baru ini.
Program bersama Sekolah Tinggi Islam As Sofa itu bertujuan memupuk kesedaran terhadap kewajipan bersolat sejak mereka kecil lagi.
Penyelaras kursus, Norizam Hashim berkata, melahirkan insan mulia dan berwawasan hendaklah dimulakan dengan solat yang merupakan tiang agama. ‘’Hari ini sudah ada kesedaran di kalangan ibu bapa untuk memberikan pengetahuan kepada anak-anak dalam melaksanakan ibadah solat seawal usia empat hingga lima tahun,'’ katanya di sini baru-baru ini.
Kata Norizam, antara pengisian yang dijalankan sepanjang program ini termasuklah ceramah mengenai solat, amali berwuduk, wirid dan penilaian. "Kanak-kanak diajar secara amali kaedah sembahyang yang betul dan perkara yang membatalkannya. Selain itu juga mereka diminta menjawab beberapa soalan bagi menilai pemahaman mereka terhadap kursus yang dijalankan," katanya. Menurutnya lagi, apa yang menarik dalam program ini, ia turut menyaksikan elemen moden dalam tarbiah iaitu melalui aktiviti ‘Jejak Solat’.
Melalui aktiviti tersebut, kanak-kanak ditempatkan dalam kumpulan berbeza dan memerlukan mereka menjawab beberapa soalan sebaik sampai di stesen yang ditetapkan. ‘’Mereka seronok menyertai Jejak Solat ini dan melalui jawapan dan barang yang diberikan selepas selesai menjawab semuanya mempunyai hubung kait dengan solat seperti telekung, sejadah, tasbih dan sebagainya," ujarnya.
Tambah Norizam, program yang dijalankan ini mendapat sambutan dan ramai di kalangan ibu bapa mahu ia diadakan lebih kerap dalam cuti persekolahan supaya anak-anak mereka mendapat manfaat ilmu yang berguna ini. ‘’Kita merancang untuk mengadakan satu lagi kursus pada 20 Jun ini melibatkan pelajar sekolah menengah dari usia 13 hingga 18 tahun," jelasnya.
Dalam program yang berlangsung di Kompleks YSNS itu, majoriti pelajar yang menyertainya datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, manakala selebihnya anak jati Negeri Sembilan. ‘’Program ini akan dikembangkan di Seremban, Kuala Pilah dan beberapa lokasi lain supaya penerimaan peserta dapat dipelbagaikan dan tidak hanya tertumpu di dalam kawasan kompleks ini.
‘’Kita akan bekerjasama dengan mana-mana masjid yang sudi menjalankan program menarik ini," katanya.
Norizam berkata, selain aktiviti dan latihan yang diterima kanak-kanak ini, mereka turut mempelajari qasidah yang memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW. "Apabila balik kelak, mereka bolehlah mendendangkan qasidah itu kepada ibu dan bapa. Sekurang-kurangnya mereka boleh menggantikan irama pop, rock, jazz dan sebagainya yang menjadi siulan anak muda," tambahnya.
Kursus Motivasi Solat Siri 2 (13 hingga 18 tahun) diadakan pada 20 Jun di Kompleks Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Rembau. Sebarang maklumat dan tempahan tempat bolehlah hubungi Norizam di talian 013-3807785.
****************
Program mencengkam hati nurani peserta
REMBAU 7 Jun - ‘’Dulu saya cuma ikut-ikut sahaja tetapi selepas menyertai kursus motivasi solat ini, saya tahu apa yang betul dan salah ketika saya bersolat selama ini."
Itu rumusan kanak-kanak berusia tujuh hingga 13 tahun mengenai program Motivasi Solat anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) dan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) baru-baru ini. Muhammad Habib Al Rai Mohd. Fauzi, 9, dia tidak menyangka kursus yang diikutinya itu amat menarik untuk diikuti sampai habis. "Saya dapat mengetahui cara dan kaedah yang paling afdal untuk menunaikan solat," katanya.
Rakannya, Mohd. Norsharizan Azizan, 9, berkata, program tersebut merupakan satu peluang untuknya memahami asas mengerjakan solat dengan lebih mendalam. "Saya berasa gembira kerana dapat mempelajari ilmu yang bermanfaat ini. Saya akan berkongsi ilmu solat yang betul ini bersama kawan-kawan dan ibu bapa," ujarnya.
Nurariani Ahmad, 10, berkata, kaedah pembelajaran tidak terlalu tertekan, seronok dan mudah difahami. "Sebelum ini saya tidak tahu kelebihan bersolat. Selepas ini saya akan ajar adik-adik saya macam mana hendak sembahyang yang betul," jelasnya.
Anis Nurfitriah Mohd. Faid, 9, berkata, ibu bapanya mahu dia menyertai program ini kerana ia boleh menyemai kefahaman mendalam mengenai cara dan kebaikan solat. "Saya lebih tenang berada di sini. Lagipun ini adalah ilmu yang dimanfaatkan seumur hidup kita. Saya bersyukur dipilih menyertai program ini," katanya.





