Assalamulaikum wr.wb. Tuan / Puan :

             Alhamdulillah, pada kesempatan Ramadhan al Mubarak yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, YSNS akan mengadalan suatu Majlis Takrim Huffaz Al Quran 2008 yang akan disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Dato’ Hj. Muhamad Sharip bin Hj. Othman, Undang Luak Rembau. Majlis ini akan diadakan pada : 

Tarikh   :  26 September 2008 ( Juma’at) / 26 Ramadhan 1429H

Masa     :  bermula 5.00 petang

Tempat :  Kompleks Yayasan Sofa

            Majlis ini adalah bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan memuliakan para Hafiz Al-Quran. Pada hakikatnya, memulia dan meraikan para Huffaz ini adalah bersumberkan kepada i saranan Rasulullah SAW yang telah bersabda : “ Antara tanda membesarkan Allah Taala ialah memuliakan orang tua muslim, memuliakan orang yang menghafal al-Quran dan memuliakan sultan yang adil ”.

            Pada kesempatan ini juga turut diadakan pengagihan sumbangan dan bantuan kepada Anak-Anak Yatim dan Pelajar Miskin, Golongan OKU dan Imam-Imam Masjid Qariah di dalam DUN Kota khasnya. Program ini juga bersempena dengan Majlis Khatam al Quran pada malam 27 Ramadhan.

            Kemuncak Program ini adalah penyampaian Anugerah Al Syatibi kepada Qari dan Hafiz yang telah banyak memberikan sumbangan dan memainkan peranan penting di dalam meninggikan pendidikan Al Quran kepada masyarakat.

           Sebuah buku baru turut dilancarkan, berjudul Abwab al Farj karangan, al Allamah Prof. Dr. Muhammad bin Alawi al Maliki al Hasani rhm.

           Sehubungan itu kami sangat berbesar hati menjemput dan mempersilakan Datuk/Tuan/Puan hadir bagi memeriahkan lagi majlis yang mulia ini.

          ************************

           PENGANUGERAHAN AL SYATIBI :

           Penganugerahan al Syatibi adalah sebagai tanda bagi memuliakan para Hafiz al-Quran. Al Syatibi di sini adalah merujuk kepada Imam al Syatibi, salah seorang dari Imam Hafiz dan Qurra’ yang tekenal. Beliau ialah Imam al‘Arif al Wali al Mukasyif, Qutb di kalangan Qurra al Qasim ibn Fairuh ibn Khalaf ibn Ahmad. Gelarannya Abu al Qasim dan Abu Muhammad. Dilahirkan di Syatibah pada tahun 538 Hijrah, di dalam keadaan buta.

          Setelah beliau mendalami ilmu pengetahuan di tanah tumpah darahnya, beliau bermusafir ke beberapa negara bagi mencari dan mendengar seberapa banyak ilmu dari tokoh-tokoh para ulama pada zaman itu. Antara gurunya yang masyhur seperti Abi Abdullah Muhammad ibn Hamid, Abi Abdullah Muhammad ibn Yusof ibn Saadah al Syibli, Abi Abdullah Muhammad ibn ‘Asyir dan lain-lain lagi.

         Imam al Syatibi wafat selepas Asar, hari Ahad pada 28 Jamadil akhir 590 Hijrah di Kaherah, ketika berumur 52 tahun.