BERSAMA MENUJU PUNCAK SEJAHTERA
UmumApril 14, 2008 4:12 am

Oleh Mohd Amin Jalil ( Berita Harian ) :


Cawangan di Negeri Sembilan bantu tambah cendekiawan Islam: MB

REMBAU: Penubuhan cawangan Universiti Al-Azhar kampus Malaysia di Negeri Sembilan mampu melonjakkan negeri dan negara ini sebagai hab serta destinasi pengajian tinggi terunggul di persada antarabangsa, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, penubuhan cawangan universiti tertua dunia itu di luar Mesir satu sejarah kerana ia pertama kali ditubuhkan dalam tempoh 1,000 tahun pusat pengajian terunggul itu beroperasi.

Katanya, ia bukan saja memberi impak besar, terutama mewujudkan peluang pendidikan sempurna kepada umat Islam, malah menjadi benteng kepada mereka berhadapan pelbagai ancaman anti-Islam.
"Kelulusan Majlis Senat universiti itu menubuhkan kampus cawangan pertamanya di luar Mesir di negeri ini membuktikan pengiktirafan mereka terhadap negara kita yang banyak berjasa dalam memartabatkan agama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah universiti itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd Deli; Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), Mohd Shukor Sabudin dan wakil Universiti Al-Azhar, Prof Dr Umar Abdullah Kamil.

Pembinaan kampus di kawasan kira-kira tujuh hektar di Kilometer 35 Jalan Seremban-Tampin itu dibiayai sepenuhnya oleh YSNS dan untuk permulaan akan menawarkan bidang pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Syariah, Tahfiz al-Quran dan Qiraat.
Menteri Besar berkata, penubuhan kampus cawangan ini bakal menjadi rujukan kepada permasalahan umat Islam di rantau ini selain melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam pada masa depan, ulama dan pemimpin ketrampilan ilmu, keperibadian dan pemikiran yang seiring dengan kemajuan dunia.

Katanya, kelulusan penubuhan kampus cawangan universiti itu juga menunjukkan universiti berkenaan menyahut cabaran beliau supaya membuat perubahan dengan mengambil kira perkembangan pendidikan global ketika melakukan lawatan di universiti itu tiga tahun lalu.

"Kerajaan negeri yakin walaupun kampus ini dikendalikan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ia akan membolehkan lebih ramai pelajar negara ini mengikuti pengajian di universiti terkenal dunia itu tanpa perlu ke Mesir, sekali gus mengurangkan pengaliran keluar wang negara dan pada masa sama membawa masuk wang asing dalam konteks pendidikan global.

"Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan kawasan barat negeri ini sebagai lembah ilmu melalui penubuhan lebih banyak pusat pengajian tinggi tempatan dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Umum, Isu Semasa, Majlis IlmuApril 1, 2008 11:54 am

MAJLIS PECAH TANAH

UNIVERSITI AL-AZHAR KAMPUS MALAYSIA

Oleh

DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN 

Menteri Besar Negeri sembilan

Tarikh  :    12  April 2008  ( Sabtu )

Venue  :    Kompleks Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Masa   :      2.30 petang

PENDAHULUAN :

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan keizinanNya Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) telah diberi kepercayaan oleh Universiti Al-Azhar untuk menubuhkan Universiti Al-­Azhar Kampus Malaysia pada tahun 1429H/2008M ini.

           Untuk itu, suatu upacara Majlis Pecah Tanah yang akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj.Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan di Kompleks YSNS. Warga YSNS mengalu-alukan kedatangan Dato/ Datin/ Prof./ Dr./Tuan/ Puan ke majlis yang bersejarah ini.

            Dengan pengiktirafan ini, telah membuka lembaran baru dalam sejarah Al-Azhar kerana inilah Kampus Universiti Al-Azhar yang pertama diadakan di luar negara Mesir. Universiti ini akan menjadi rujukan kepada institusi Islam di dunia dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan Islam.

           Kami berazam untuk mengeluarkan sebanyak mungkin graduan yang berketerampilan dan mempunyai daya saing yang tinggi, seterusnya mampu memperjuangkan dan meneruskan misi Al-­Azhar yang telah dibina semenjak lebih 1400 tahun dahulu dalam menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia, InsyaAllah.


Universiti Al-Azhar Mesir :

            Merupakan salah sebuah universiti tertua dan terkenal di dunia. la menjadi tumpuan para cendekiawan Islam dan penuntut ilmu dari segenap pelusuk dunia sejak kurun ke-8 Hijrah meliputi negara-negara Asia, Afrika dan beberapa negara Eropah. Al-Azhar telah melahirkan ribuan ulama’ tersohor di serata dunia seperi al-Imam Ibnu Hajar al­’Asgalani (pengarang kitab Fath al Bari - Syarah Sohih al Bukhari), al-’Allamah Jalaluddin al-Suyuti (pengarang kitab Jam’ al Jawami’ dan lain-lain lagi. Syeikh Idris al-Merbawi, pengarang kitab Kamus al Marbawi yang terkenal  dan juga tokoh Maal Hijrah Malaysia adalah antara ulama’ keluaran Universiti yang tersohor ini.


Rasional  Penubuhan
Universiti Al Azhar Kampus Malaysia :


·         Menyediakan tempat bagi melahirkan bakal ulama’ yang berketerampilan dari segi ilmu, keperibadian dan pemikiran yang seiring dengan pegangan Ahli Sunnah wa al Jama’ah

·         Menyediakan peluang pengajian tinggi berbahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu Islam dengan mengaplikasikan gabungan pendekatan moden dan turath (karya-karya ulama’ silam

·         Membantu menjayakan inisiatif kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi serantau, sekaligus memacu Malaysia ke arah destinasi pengajian tinggi peringkat antarabangsa

·         Membantu menjayakan inisiatif kerajaan menyediakan modal insan peringkat pengajian tinggi berlatar belakangkan persekitaran setempat

·         Mengurangkan pengaliran wang ke negara asing dan dalam masa yang sama membawa masuk dana asing ke negara ini dalam konteks pendidikan global

·         Menyahut dasar baru kerajaan memberikan kebenaran kepada universiti asing menubuhkan cawangan di Malaysia

·         Menyahut cabaran dan merebut peluang yang diberikan oleh Universiti AI-Azhar, sebuah universiti terulung dalam bidang pengajian Islam, bagi memperlihatkan komitmen YSNS menubuhkan Kampus cawangan di Malaysia yang satu-satunya diluluskan di luar Mesir (bertaraf cawangan Universiti Al-Azhar)

·         Bakal menjadi ‘koridor ilmu’ di rantau Asia Tenggara dan di peringkat global

HARAPAN :

        Sesungguhnya dengan penubuhan Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia ini, diharapkan akan dapat memperkembangkan lagi sayap dan peranan Universiti AI-Azhar sebagai sebuahinstitusi  pendidikan Islam yang bertaraf antarabangsa dan amat dikenali serta disegani oleh dunia, malah menjadi tempat rujukan kepada umat Islam khususnya di Asia, sekali gus sebagai benteng yang ampuh daripada dipengaruhi oleh fahaman-fahaman bertentangan dengan prinsip yang disepakati Oleh Ahli Sunnah wa al Jama’ah.

       Paling utama kewujudannya diharap dapat membawa masyarakat  ke arah kehidupan yang sejahtera dan harmoni berpandukan Syariat Ilahi. Semoga sokongan dan dokongan serta sumbangan daripada Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan akan membantu kepada perkembangan Islam di Nusantara khasnya dan di dunia amnya.

MUSLIMIN/MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

BAGI MEMERIAHKAN LAGI MAJLIS YANG BERSEJARAH INI