AL HABIB UMAR IBN MUHAMMAD IBN SALIM IBN HAFIZ :
Al Habib Umar ibn Muhammad ibn Salim ibn Hafiz ibn Abdullah ibn Abu Bakar merupakan keturunan yang ke-39 dari Nabi Muhammad s.a.w melalui silsilah SayyidunaHusain r.a.
Beliau dilahirkan sebelum subuh, hari Isnin, 4 Muharram 1383H di Bandar Tarim, Hadhramaut, salah sebuah kota tertua di Yaman yang sangat terkenal dengan ramainya keluaran ilmuwan Islam semenjak ratusan tahun dahulu. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang memiliki tradisi keilmuan Islam dan akhlak yang tinggi.
Ayahandanya, al Habib Muhammad ibn Salim ibn Syeikh Abu Bakar ibn Salim adalah seorang pejuang yang terkenal, ahli intelektual dan pendakwah besar. Beliau telah mengabdikan hidupnya demi menyebarkan agama Islam. Beliau secara tragisnya, telah diculik oleh Komunis dan dianggap telah meninggal dunia. Demikian juga kedua orang kekandanya, al Habib Salim ibn Hafiz dan al Habib Hafiz ibn Abdullah, ahli intelektual Islam yang sangat dihormati dan disegani oleh golongan ulama’ dan intelektual Islam pada zamannya.
Beliau telah menghafal Al Qur’an pada usia yang sangat muda dan menghafal berbagai-bagai matan (teks inti) dalam ilmu Feqah, Hadith, Bahasa Arab dan ilmu-ilmu agama yang lain. Beliau mempelajari ilmu-ilmu spiritual keagamaan daripada ayahandanya sendiri sehingga beliau memperolehi semangat cinta dran perhatian yang mendalam dalam arena dakwah dan bimbingan. Beliau telah menimba iImu dan bermusyafahah dengan ramai ulama’ di merata tempat. Di antara guru-gurunya ialah:
1. AI Habib Muhammad ibn Abdullah al Haddar
2. Faqih Syafi’i, al Habib Zain ibn Semait
3. Mufti Ta’iz, al Habib Ibrahim ibn Aqil ibn Yahya
4. Al Habib Muhammad al Haddar
5. Al Habib ‘Abdul Qadir ibn Ahmad al Saqqaf
6. Al Habib Ahmad Masyhur ibn Toha al Haddad
7. Al Habib Abu Bakar al ‘Al Attas ibn Abdullah al Habsyi
Beliau juga mendapat ijazah sanad daripada Al Musnid Syeikh Muhammad Yasin al Fadani dan al Muhaddith Haramain, Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki Hasani.
Beliau memulakan tanggungjawab sebagai seorang guru dan pendakwah ketika berusia 15 tahun, disamping meneruskan usahanya menuntut ilmu. Beliau adalah seorang ulama’ yang aktif berdakwah dan memberikan bimbingan kepada umat manusia. Setelah lama mengembara, beliau kembali semula ke Tarim dan mengasaskan Darul Mustafa bagi meneruskan misi dakwahnya pada tahun 1414H/1994M. Dar Mustafa adalah hadiah beliau bagi dunia Islam. Dalam waktu yang singkat sahaja, penduduk Tarim dapat menyaksikan ramai penuntut ilmu dari berbagai-bagai negara datang bersatu di kota yang pernah di kuasai Komunis ini.



