MADRASAH AL HASANIAH - PUSAT LAHIR GENERASI BERILMU
( Petikan dari Utusan Malaysia…)

Manifestasi untuk mewujudkan sebuah madrasah agama dengan berkonsepkan `pondok moden’ harus dilihat sebagai tapak melahirkan para `graduan ilmu Islam’ yang berwibawa serta mampu berhadapan anasir yang cuba menggoyahkan akidah umat Islam.
Berdasarkan itulah, sebuah madrasah di Rembau _ Madrasah Al Hasaniah (milik Yayasan Sofa Negeri Sembilan) telah menjadi teras kepada usaha mengembalikan pengajian secara pondok ini tetapi dalam bentuk yang lebih segar dengan kitab dan buku yang diterbitkan secara tulisan moden dan mudah difahami oleh ahli pengajian ilmu.
Usaha tanpa henti yang dilakukan oleh Sheikh Haji Muhammad Fuad Haji Kamaludin al Maliki _ pengasas, penulis hampir 200 kitab dan buku agama, Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan telah menjadikan konsep yang dipakai itu berjaya menarik minat ramai untuk mendalami Islam.
Apa yang lebih membanggakan, bukan sekadar mencurahkan ilmu, sebaliknya di madrasah itu sendiri ia kini menjadi pusat rujukan bagi mereka yang mahu mendalami syiar Islam.
Ini diperjelaskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan beliau sewaktu merasmikan Majlis Sambutan Isra’ dan Mikraj di madrasah berkenaan dan antara yang diberi penekanan oleh beliau ialah satu usaha murni yang dijalankan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan untuk membantu umat Islam di negeri ini.
"Saya berbangga dengan usaha yang dijalankan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan ini kerana ia dilakukan sesama ahli dan tidak meminta bantuan daripada kerajaan. Semua ini dilakukan kerana pengorbanan ikhlas ahli," katanya.
Apa yang jelas, usaha berkenaan berjaya menjadikan madrasah ini sebagai model dan cara pengurusannya dilihat profesional serta sistematik.
Dengan Yayasan yang berusia setahun jagung, ditubuhkan pada 17 Februari 2004, ia kini mampu membangunkan sebuah madrasah moden, lengkap dengan pusat penyelidikan, rumah anak yatim, dua pusat tahfiz (di Selangor dan Kuala Lumpur), percetakan serta menganjurkan pelbagai seminar peringkat antarabangsa.
"Ia satu usaha yang bagus, walaupun cara yang dilakukan pelbagai, tetapi matlamatnya satu iaitu menegakkan syiar Islam," katanya beliau.
Mohamad dalam ucapan itu juga berkata, beliau mempelawa Yayasan Sofa Negeri Sembilan bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Islam (Pusat Dakwah Islamiah) di Paroi, untuk bersama-sama meneruskan usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.
Melihatkan perkembangan ini, konsep `pondok moden’ yang diperkenalkan itu sebenarnya membuka ruang pengajian yang lebih meluas, selain memberi tarbiah melalui cara talaqqi (guru dan murid), ia juga mampu mendidik generasi muda ke arah lebih disiplin.
Namun begitu segala usaha ini tidak akan berhasil sekiranya umat Islam tidak bersatu dan berbeza pendapat termasuklah tidak berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Seorang Ulama Arab Saudi, Allamah Sayyid Ahmad ibn Muhammad al-Maliki al-Hasani berkata, umat Islam perlu bersatu padu kerana musuh Islam, kini bukan sahaja dari luar tetapi di kalangan orang Islam sendiri.
"Kita harus bersatu menentang anasir yang cuba memecah belahkan umat dan peranan ini harus dimainkan oleh semua umat Islam," kata beliau dalam Majlis Bersama Ulama di Madrasah Al Hasaniah, Rembau, semalam.
Hakikatnya jelas, bahawa madrasah hari ini mempunyai tugas besar, selain menyebarkan dakwah Islamiah, ia juga berperanan besar mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagaimana perjuangan Yayasan Sofa Negeri Sembilan.
Pada masa yang sama, identiti sesebuah madrasah itu pula tidak hanya menggambarkan `cara kampung’ sebaliknya harus diselarikan dengan gaya moden agar memenuhi keperluan semasa.
Cara dan pendekatan moden inilah antara sebab Madrasah Al Hasaniah, Kampung Bukit Sembilan, Rembau itu kini menjadi model dengan aktiviti membangunkan modal insan _ `Insan Islamik’ yang berkaliber dalam semua aspek iaitu matang pemikiran, berkarisma, tegas, akidah yang betul, jujur, mahir sekali gus mampu mengisi kekosongan Ulama masa hadapan. _ Utusan Malaysia




