Berita 2006
REMBAU _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan mencatat kejayaan apabila mengendalikan program ibadah korban selama dua hari berturut-turut dengan penyembelihan 14 ekor lembu dan dua ekor kambing biri-biri di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau.
Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, ibadah korban ini bermula sebaik selesai sembahyang Hari Raya Aidiladha semalam dan diteruskan hari ini selepas ia mendapat sambutan menggalakan di kalangan ahli dan beberapa individu.
"Semalam kita mengendalikan penyembelihan tujuh ekor lembu dan seekor kambing biri-biri import dari Australia. Terdapat juga lembu yang dikorbankan diterima pada saat akhir dan ini menggembirakan pihak yayasan," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd Shukor, program ibadah korban ini diketuai oleh Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin yang memulakan bacaan doa. Semua binatang korban itu disembelih satu persatu dalam masa hampir sejam yang disaksikan kira-kira 500 jemaah dan ahli yayasan berkenaan.
"Hari ini kira-kira tujuh ekor lembu lagi dan seekor kambing biri-biri tempatan dikorbankan di bangsal yang dibina khas untuk melaksanakan program ibadah korban ini," katanya.
Tambahnya, tahun lalu yayasan ini mengendalikan penyembelihan korban sebanyak sembilan ekor lembu dan tahun ini ia bertambah selepas mendapat sambutan menggalakan.
"Kesedaran umat Islam terhadap ibadah korban ini semakin meningkat dan atas sebab itulah mereka mahu menunaikan tanggungjawab berkenaan dan memilih yayasan ini mengendalikannya. Kita amat berbesar hati dan akan meneruskan lagi program ini pada masa hadapan dan meningkatkan bilangan binatang ternakan yang sedia untuk dikorbankan.
"Sekiranya usaha ini mendapat perhatian ramai pada tahun hadapan, kita merancang untuk mengumpul dana ibadah korban dari sekarang supaya daging korban itu dapat diberikan kepada umat Islam yang berada dalam kepayahan, khususnya di Indonesia dan negara lain yang memerlukannya.
"Kita serius memikirkan bagaimana daging korban ini dapat dihantar kepada mereka yang memerlukannya di luar negara pada program tahun hadapan," ujar Mohd Shukor.
Dalam pada itu, yayasan ini juga menyediakan kemudahan asrama untuk anak yatim serta pengajian pondok bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Untuk anak yatim, segala perbelanjaan, pakaian dan tempat tinggal disediakan secara percuma oleh yayasan ini sebagai sumbangannya untuk tujuan pembangunan agama Islam.
"Dana untuk mengendalikan anak yatim ini diperoleh di kalangan ahli yayasan. Kita mempunyai lebih kurang 18 orang anak yatim dan 17 pelajar miskin yang kini dikendalikan oleh yayasan. Sehubungan itu, kita juga mengharapkan dana dari orang ramai supaya program menyara anak yatim ini dapat diteruskan dari masa ke semasa," ujarnya. - YSNS




