(Disiarkan Utusan Malaysia 2006)
SEREMBAN _ Tokoh agama, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin, 34, merupakan penerima termuda Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sempena dengan majlis itu di dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban.
Berdasarkan kepada usianya, beliau boleh dianggap sebagai setahun jagung tetapi dilihat kepada pencapaiannya yang telah menghasilkan 115 buah kitab agama dalam pelbagai disiplin, tanggapan itu ternyata tersasar.
Beliau telah menghasilkan 44 buah kitab berkaitan amalan, 19 kitab mengenai hadis, 14 buah kitab berkaitan Fikah, 10 buah kitab berkaitan tokoh Islam, sembilan buah kitab Tasawwuf, sembilan buah kitab Tauhid, enam buah kitab Sejarah Islam dan tiga buah kitab Tafsir al-Quran
Selain itu beliau juga telah menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya Syeikh Ahmad Muhammad al-Maliki dari Mekah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.
Beliau yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenong, Chengkau, Rembau dekat sini telah mendapat pendidikan formalnya di Sekolah Kebangsaan Penajis, Rembau sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban dan Maahad Ahmadi, Gemencheh, Tampin.
Dia kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Ma’ahad Tahfiz wal Qiraat Masjid Khulafa’, Mesir dan Ma’ahad Orman Li al-Dirasat al-Lughah al-Arabiah.
Anugerah khas beliau itu disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.
Hadir sama pada majlis itu ialah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain Muhamad Fuad, tiga lagi tokoh yang mendapat anugerah sama hari ini ialah Tan Sri Rashdan Baba, 71, seorang tokoh sains pertanian dan ekonomi yang bertanggungjawab membawa pulang syarikat perladangan getah terbesar di dunia, kumpulan Guthrie dari Bursa Saham London ke Malaysia.
Dua lagi ialah Tan Sri Siti Norma Yaakob, 66, yang kini menjawat jawatan Hakim Besar Malaya dan Profesor Datuk Dr. Baharudin Yatim, 60, seorang pakar fizik.




