(Disiarkan dalam Utusan Malaysia 2006)

REMBAU 27 Nov. _ Ketika sebahagian besar remaja menghabiskan masa di tempat yang tidak berfaedah sekumpulan lebih 100 pelajar dari usia 6 hingga 16 tahun memilih untuk memperkukuhkan jati diri melalui program Pemantapan Fardhu Ain anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) di sini.

    Program yang bermula hari ini berakhir 10 Disember itu, dihadiri golongan remaja dari Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Penyelaras Program YSNS, Mohd. Hanif Abd Hamid berkata, sambutan yang menggalakan itu disebabkan timbulnya kesedaran di kalangan ibu dan bapa pelajar, terhadap keperluan pemantapan diri, sekali gus menghindarkan anak-anak mereka dari terjebak ke dalam agenda yang tidak bermaruah.

    "Tahun lalu, kita menerima 50 pelajar dalam program yang sama, tetapi tahun ini kita menerima seramai 102 pelajar lelaki dan perempuan, yang mana tidak termasuk anak-anak yatim yang sedia ada berjumlah 30 orang," katanya di sini hari ini.

    Katanya, program ini meliputi pengajian amali solat, tauhid, amali jawi, tajwid, pemantapan bacaan al-Quran, hadis, latihan dalam kelas, motivasi, aktiviti riadah dan Program Sehari Bersama Bomba dan Penyelamat.

     "Kita mahu menerapkan ilmu dan membimbing mereka dengan jalan yang betul daripada tenaga pengajar (fasilitator) bertauliah yang berkelulusan Universiti Al Azhar. Saya yakin, pelajar yang menyertai program selama dua minggu ini akan mendapat manfaat daripadanya," katanya.

      Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Kuala Lumpur, Jannatul Izzati Norazmi, 13 berkata, ini pengalaman pertamanya menyertai program sebegini.

      "Saya memilih untuk hadir dalam program ini kerana mahu belajar asas fardhu ain dan pada masa yang sama bersedia menerima bimbingan daripada guru-guru di sini. Saya seronok, walaupun ada rakan-rakan saya yang memilih untuk melancong," katanya.

       Nur Syairah Amran, 13 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor memberitahu, dia begitu berminat menyertai program di sini, sebaik sahaja dimaklumkan oleh ibu bapanya.

        "Di sini, saya berharap dapat memperkukuhkan jati diri sepanjang dua minggu menuntut ilmu. Saya akan pastikan, apa yang diajar benar-benar diterima dan diguna pakai dalam kehidupan seharian. Saya tidak sabar untuk terus mendengar kalam yang diajar oleh fasilitator," ujarnya.

        Bagi Tariq Jaffri Mohd Akbar, 16 yang merupakan pelajar Maahad Ahmadi, Gemencheh berkata, dia yakin program yang disertainya ini dapat mendidik jiwa rohani dan menghindarkan daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah.

        Manakala Khairul Anam Razifkhir, 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Melaka memberitahu, kali pertama menyertai program ini, dia sudah dapat melihat kelainannya kerana di sini pelajar didedahkan dengan banyak ilmu yang ada hubung kaitnya dengan fardhu ain.

         "Dalam usia yang muda ini, kami perlu belajar asas fardhu ain. Kami memerlukan bimbingan dan sebab itulah saya memilih untuk datang ke sini. Inilah tempatnya di mana saya boleh menimba ilmu," ujarnya.

         Majlis penerimaan pelajar itu di sini hari ini disaksikan Yang Dipertua YSNS, Mohd Shukor Sabudin serta jawatankuasa peringkat negeri. - YSNS 

<img src=’/images/RIMG4259.JPG’ alt='’ />