(Disiarkan Utusan Malaysia ruangan Agama 2006)
REMBAU _ Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 127 peringkat Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, 32, walaupun telah berada di Bumi Para Anbia’, Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi telah berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.
Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan jumlah pelajar yang ramai.
Tetapi anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian dari ‘kulit ke kulit’.
Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.
Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengangkatnya sebagai anak angkat dan kesemua mereka telah memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia.
Sehubungan itu Dr Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki kepada beliau.
Dalam keadaan tertentu, Muhammad Fuad bukan sahaja mengunjungi guru-gurunya tetapi sebaliknya mereka sendiri yang berkunjung ke rumahnya untuk mengajar beliau.
"Kadang-kadang sekiranya saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih Yang Mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau di sini.
Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar itu memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.
Menurut Muhammad Fuad, beliau hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti itu, iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.
"Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka.
"Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari sepanjang tempoh itu.
"Saya akan pergi menadah kitab secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," katanya yang amat memuliakan kesemua gurunya.
Bagaimanapun, beliau yang tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain itu telah diminta oleh rakan pelajar untuk mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti.
Muhammad Fuad yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah mengenai perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam Bahasa Arab pada tahun 1993 setelah setahun berada di Mesir.
Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata ini telah berjaya menghasilkan 115 buah kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli pengajian serta menjadi rujukan kepada ulama lain, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di luar negara.
Kitab-kita tersebut ialah tiga buah kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 buah kitab karangan fikah, sembilan buah kitab karangan tasawuf, enam buah kitab karangan sirah, 10 buah kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.
Malah, beliau yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan, juga menulis 12 kitab bahasa Arab (Al Toli’al Sa’id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari) - kitab yang berkaitan ilmu hadis dan diterbitkan di Mesir.
Kitab karangan beliau dalam bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al Azhar, Mesir seperti Professor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti Al Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir Al Quran, al-Azhar.
Ketokohan bukan sahaja diperakui di negara ini tetapi turut mendapat undangan memberikan ceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.
Menceritakan proses penulisan buku, beliau mensyaratkan dirinya untuk menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.
Beliau juga akan menulis kitabnya tidak mengira masa walau di mana berada selagi ilham dan idea itu melimpah.
"Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu kepada keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah merupakan maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.
Beliau bagaimanapun mengakui terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab dalam pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.
"Sebagai contoh ialah Ibn Shahin yang telah menulis 33,000 buah kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari telah menulis lebih 600 jilid kita dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah syaratkan dirinya untuk menulis setiap hari sebanyak 40 helai.
"Tanpa elektrik, komputer dan internet mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini, maka tidak mustahil bagi kita yang memiliki segalanya untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Setelah kembali ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan ini telah membuka pondok pengajiannya di kawasan setengah ekar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17.
Kemudian, ahli pengajiannya semakin bertambah sehingga memerlukan kawasan yang lebih besar dan selesa, maka kawasan seluas kira-kira 4 hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.
Ditanya mengenai sambutan orang ramai terhadap usaha dakwahnya memandangkan usianya yang boleh dikira sebagai setahun jagung, iaitu hanya 22 tahun semasa menubuhkan pondok itu.
Beliau sambil merenung jauh menjawab dengan menyebut petikan pujangga Arab yang bermaksud:" Bahawa orang-orang yang dikurniakan nikmat (termasuk ilmu pengetahuan) akan dikelilingi oleh mereka yang berhasad dengki".
Katanya, pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya seperti dikatakan membawa fahaman yang sesat.
"Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredhaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan masyarakat mulai dapat menerima usaha yang dijalankan," katanya.
Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.
"Saya tak merasa tekanan, saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.
Menyedari usaha dakwah sejak zaman Rasulullah lagi tidak pernah sunyi daripada hasutan dan tipu helah syaitan untuk terus menghasut manusia supaya tidak menerima perkara baik dan meneruskan kejahatan.
Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya dari Pencipta. - YSNS




