Berita ANAK YATIM 2006
SEREMBAN _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) membuka permohonan di kalangan anak yatim seluruh negara yang berminat mendiami asramanya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau supaya segera berbuat demikian selewat-lewatnya 22 Disember 2006.
Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, pihak YSNS mensasarkan untuk kemasukan tahun hadapan, seramai 50 orang anak yatim lelaki dapat ditempatkan di asrama ini, di mana kesemua perbelanjaan mereka termasuk tempat tinggal, makan dan minum, pengangkutan dan sebagainya dibiayai sepenuhnya oleh yayasan ini.
"Kita mahu mencari anak yatim yang berkelayakan untuk duduk bersama-sama di asrama yang disediakan dan di situ mereka akan diberikan didikan formal dan agama. Sementara persekolahan biasa, kesemua pelajar ini akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah berhampiran," katanya.
Menurut beliau, ketika ini terdapat lebih 30 anak yatim dan mereka telah mendiami asrama itu sejak beberapa tahun lalu serta diberikan pendidikan agama dan formal dengan sebaiknya.
"Ibu atau penjaga bolehlah menghubungi saya di talian, 019-6218621 atau sekretariat pengurusan, 019-6637785 (Anep) untuk sebarang pertanyaan," katanya.
Mohd. Shukor juga menambah, pihak YSNS akan menerima pelajar anak yatim lelaki sahaja yang akan menduduki pengajian di Tahun 4 hingga Tingkatan Satu.
"Kita tidak menerima pelajar anak yatim perempuan kerana tidak mempunyai kemudahan asrama yang mencukupi. Apabila projek pembangunan untuk membina asrama baru siap dalam waktu terdekat, kita akan mempunyai asrama lelaki dan perempuan yang lebih selesa," katanya.
Sementara itu, YSNS juga akan mengendalikan ibadah korban sebagaimana yang dilakukan setiap tahun dan ia akan dikendalikan oleh jawatankuasa yayasan berkenaan di Chengkau.
"Mereka yang berminat untuk menyertai ibadah korban ini, bolehlah berbuat demikian selewat-lewatnya pada 20 Disember 2006. Tahun lalu, kita mengendalikan ibadah korban membabitkan lebih 20 ekor lembu dan kambing. Ia dilakukan selama dua hari.
"Kita menjangkakan bilangan itu akan bertambah dan petugas kita telah pun menyiapkan segala keperluan untuk tujuan tersebut," ujarnya.
Mohd Shukor juga menambah, selain program berkenaan, YSNS juga akan menganjurkan Program Pemantapan Fardhu Ain semasa musim percutian persekolahan ini.
"Pelajar yang mahu menyertai program ini hendaklah dari Tahun 4 hingga Tingkatan Tiga dan mereka akan mendiami asrama pelajar selama dua minggu. Tarikh tutup untuk menyertai program ini ialah 25 November 2006," ujarnya. - YSNS




