BERSAMA MENUJU PUNCAK SEJAHTERA
UmumJanuary 8, 2007 3:54 pm

Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki

Umum 3:47 pm

 

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia 2006)

REMBAU 27 Nov. _ Ketika sebahagian besar remaja menghabiskan masa di tempat yang tidak berfaedah sekumpulan lebih 100 pelajar dari usia 6 hingga 16 tahun memilih untuk memperkukuhkan jati diri melalui program Pemantapan Fardhu Ain anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) di sini.

    Program yang bermula hari ini berakhir 10 Disember itu, dihadiri golongan remaja dari Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Penyelaras Program YSNS, Mohd. Hanif Abd Hamid berkata, sambutan yang menggalakan itu disebabkan timbulnya kesedaran di kalangan ibu dan bapa pelajar, terhadap keperluan pemantapan diri, sekali gus menghindarkan anak-anak mereka dari terjebak ke dalam agenda yang tidak bermaruah.

    "Tahun lalu, kita menerima 50 pelajar dalam program yang sama, tetapi tahun ini kita menerima seramai 102 pelajar lelaki dan perempuan, yang mana tidak termasuk anak-anak yatim yang sedia ada berjumlah 30 orang," katanya di sini hari ini.

    Katanya, program ini meliputi pengajian amali solat, tauhid, amali jawi, tajwid, pemantapan bacaan al-Quran, hadis, latihan dalam kelas, motivasi, aktiviti riadah dan Program Sehari Bersama Bomba dan Penyelamat.

     "Kita mahu menerapkan ilmu dan membimbing mereka dengan jalan yang betul daripada tenaga pengajar (fasilitator) bertauliah yang berkelulusan Universiti Al Azhar. Saya yakin, pelajar yang menyertai program selama dua minggu ini akan mendapat manfaat daripadanya," katanya.

      Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Kuala Lumpur, Jannatul Izzati Norazmi, 13 berkata, ini pengalaman pertamanya menyertai program sebegini.

      "Saya memilih untuk hadir dalam program ini kerana mahu belajar asas fardhu ain dan pada masa yang sama bersedia menerima bimbingan daripada guru-guru di sini. Saya seronok, walaupun ada rakan-rakan saya yang memilih untuk melancong," katanya.

       Nur Syairah Amran, 13 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor memberitahu, dia begitu berminat menyertai program di sini, sebaik sahaja dimaklumkan oleh ibu bapanya.

        "Di sini, saya berharap dapat memperkukuhkan jati diri sepanjang dua minggu menuntut ilmu. Saya akan pastikan, apa yang diajar benar-benar diterima dan diguna pakai dalam kehidupan seharian. Saya tidak sabar untuk terus mendengar kalam yang diajar oleh fasilitator," ujarnya.

        Bagi Tariq Jaffri Mohd Akbar, 16 yang merupakan pelajar Maahad Ahmadi, Gemencheh berkata, dia yakin program yang disertainya ini dapat mendidik jiwa rohani dan menghindarkan daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah.

        Manakala Khairul Anam Razifkhir, 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Melaka memberitahu, kali pertama menyertai program ini, dia sudah dapat melihat kelainannya kerana di sini pelajar didedahkan dengan banyak ilmu yang ada hubung kaitnya dengan fardhu ain.

         "Dalam usia yang muda ini, kami perlu belajar asas fardhu ain. Kami memerlukan bimbingan dan sebab itulah saya memilih untuk datang ke sini. Inilah tempatnya di mana saya boleh menimba ilmu," ujarnya.

         Majlis penerimaan pelajar itu di sini hari ini disaksikan Yang Dipertua YSNS, Mohd Shukor Sabudin serta jawatankuasa peringkat negeri. - YSNS 

<img src=’/images/RIMG4259.JPG’ alt='’ />

Umum 3:45 pm

Umum 3:43 pm

 

Berita ANAK YATIM 2006

SEREMBAN  _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) membuka permohonan di kalangan anak yatim seluruh negara yang berminat mendiami asramanya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau supaya segera berbuat demikian selewat-lewatnya 22 Disember 2006.

   Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, pihak YSNS mensasarkan untuk kemasukan tahun hadapan, seramai 50 orang anak yatim lelaki dapat ditempatkan di asrama ini, di mana kesemua perbelanjaan mereka termasuk tempat tinggal, makan dan minum, pengangkutan dan sebagainya dibiayai sepenuhnya oleh yayasan ini.

   "Kita mahu mencari anak yatim yang berkelayakan untuk duduk bersama-sama di asrama yang disediakan dan di situ mereka akan diberikan didikan formal dan agama. Sementara persekolahan biasa, kesemua pelajar ini akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah berhampiran," katanya.

   Menurut beliau, ketika ini terdapat lebih 30 anak yatim dan mereka telah mendiami asrama itu sejak beberapa tahun lalu serta diberikan pendidikan agama dan formal dengan sebaiknya.

   "Ibu atau penjaga bolehlah menghubungi saya di talian, 019-6218621 atau sekretariat pengurusan, 019-6637785 (Anep) untuk sebarang pertanyaan," katanya.

    Mohd. Shukor juga menambah, pihak YSNS akan menerima pelajar anak yatim lelaki sahaja yang akan menduduki pengajian di Tahun 4 hingga Tingkatan Satu.

    "Kita tidak menerima pelajar anak yatim perempuan kerana tidak mempunyai kemudahan asrama yang mencukupi. Apabila projek pembangunan untuk membina asrama baru siap dalam waktu terdekat, kita akan mempunyai asrama lelaki dan perempuan yang lebih selesa," katanya.

    Sementara itu, YSNS juga akan mengendalikan ibadah korban sebagaimana yang dilakukan setiap tahun dan ia akan dikendalikan oleh jawatankuasa yayasan berkenaan di Chengkau.

    "Mereka yang berminat untuk menyertai ibadah korban ini, bolehlah berbuat demikian selewat-lewatnya pada 20 Disember 2006. Tahun lalu, kita mengendalikan ibadah korban membabitkan lebih 20 ekor lembu dan kambing. Ia dilakukan selama dua hari.

    "Kita menjangkakan bilangan itu akan bertambah dan petugas kita telah pun menyiapkan segala keperluan untuk tujuan tersebut," ujarnya.

     Mohd Shukor juga menambah, selain program berkenaan, YSNS juga akan menganjurkan Program Pemantapan Fardhu Ain semasa musim percutian persekolahan ini.

      "Pelajar yang mahu menyertai program ini hendaklah dari Tahun 4 hingga Tingkatan Tiga dan mereka akan mendiami asrama pelajar selama dua minggu. Tarikh tutup untuk menyertai program ini ialah 25 November 2006," ujarnya. - YSNS

Umum 3:42 pm

 

Berita 2006

REMBAU _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan mencatat kejayaan apabila mengendalikan program ibadah korban selama dua hari berturut-turut dengan penyembelihan 14 ekor lembu dan dua ekor kambing biri-biri di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau.

   Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, ibadah korban ini bermula sebaik selesai sembahyang Hari Raya Aidiladha semalam dan diteruskan hari ini selepas ia mendapat sambutan menggalakan di kalangan ahli dan beberapa individu.

  "Semalam kita mengendalikan penyembelihan tujuh ekor lembu dan seekor kambing biri-biri import dari Australia. Terdapat juga lembu yang dikorbankan diterima pada saat akhir dan ini menggembirakan pihak yayasan," katanya di sini hari ini.

   Menurut Mohd Shukor, program ibadah korban ini diketuai oleh Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin yang memulakan bacaan doa.  Semua binatang korban itu disembelih satu persatu dalam masa hampir sejam yang disaksikan kira-kira 500 jemaah dan ahli yayasan berkenaan.

   "Hari ini kira-kira tujuh ekor lembu lagi dan seekor kambing biri-biri tempatan dikorbankan di bangsal yang dibina khas untuk melaksanakan program ibadah korban ini," katanya.

    Tambahnya, tahun lalu yayasan ini mengendalikan penyembelihan korban sebanyak sembilan ekor lembu dan tahun ini ia bertambah selepas mendapat sambutan menggalakan.

    "Kesedaran umat Islam terhadap ibadah korban ini semakin meningkat dan atas sebab itulah mereka mahu menunaikan tanggungjawab berkenaan dan memilih yayasan ini mengendalikannya. Kita amat berbesar hati dan akan meneruskan lagi program ini pada masa hadapan dan meningkatkan bilangan binatang ternakan yang sedia untuk dikorbankan.

    "Sekiranya usaha ini mendapat perhatian ramai pada tahun hadapan, kita merancang untuk mengumpul dana ibadah korban dari sekarang supaya daging korban itu dapat diberikan kepada umat Islam yang berada dalam kepayahan, khususnya di Indonesia dan negara lain yang memerlukannya.

    "Kita serius memikirkan bagaimana daging korban ini dapat dihantar kepada mereka yang memerlukannya di luar negara pada program tahun hadapan," ujar Mohd Shukor.

   Dalam pada itu, yayasan ini juga menyediakan kemudahan asrama untuk anak yatim serta pengajian pondok bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Untuk anak yatim, segala perbelanjaan, pakaian dan tempat tinggal disediakan secara percuma oleh yayasan ini sebagai sumbangannya untuk tujuan pembangunan agama Islam.

   "Dana untuk mengendalikan anak yatim ini diperoleh di kalangan ahli yayasan. Kita mempunyai lebih kurang 18 orang anak yatim dan 17 pelajar miskin yang kini dikendalikan oleh yayasan. Sehubungan itu, kita juga mengharapkan dana dari orang ramai supaya program menyara anak yatim ini dapat diteruskan dari masa ke semasa," ujarnya. - YSNS

Umum 3:40 pm

 

 (Disiarkan Utusan Malaysia 2006)

SEREMBAN _ Tokoh agama, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin, 34, merupakan penerima termuda Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sempena dengan majlis itu di dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban.

  Berdasarkan kepada usianya, beliau boleh dianggap sebagai setahun jagung tetapi dilihat kepada pencapaiannya yang telah menghasilkan 115 buah kitab agama dalam pelbagai disiplin, tanggapan itu ternyata tersasar.

  Beliau telah menghasilkan 44 buah kitab berkaitan amalan, 19 kitab mengenai hadis, 14 buah kitab berkaitan Fikah, 10 buah kitab berkaitan tokoh Islam, sembilan buah kitab Tasawwuf, sembilan buah kitab Tauhid, enam buah kitab Sejarah Islam dan tiga buah kitab Tafsir al-Quran

  Selain itu beliau juga telah menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya Syeikh Ahmad Muhammad al-Maliki dari Mekah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.

  Beliau yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenong, Chengkau, Rembau dekat sini telah mendapat pendidikan formalnya di Sekolah Kebangsaan Penajis, Rembau sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban dan Maahad Ahmadi, Gemencheh, Tampin.

  Dia kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Ma’ahad Tahfiz wal Qiraat Masjid Khulafa’, Mesir dan Ma’ahad Orman Li al-Dirasat al-Lughah al-Arabiah.

  Anugerah khas beliau itu disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.

  Hadir sama pada majlis itu ialah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

  Selain Muhamad Fuad, tiga lagi tokoh yang mendapat anugerah sama hari ini ialah Tan Sri Rashdan Baba, 71, seorang tokoh sains pertanian dan ekonomi yang bertanggungjawab membawa pulang syarikat perladangan getah terbesar di dunia, kumpulan Guthrie dari Bursa Saham London ke Malaysia.

  Dua lagi ialah Tan Sri Siti Norma Yaakob, 66, yang kini menjawat jawatan Hakim Besar Malaya dan Profesor Datuk Dr. Baharudin Yatim, 60, seorang pakar fizik.

Umum 3:36 pm

 

  (Disiarkan Utusan Malaysia ruangan Agama 2006)
  REMBAU _ Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 127 peringkat Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, 32, walaupun telah berada di Bumi Para Anbia’, Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi telah berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

  Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan jumlah pelajar yang ramai.

  Tetapi anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian dari ‘kulit ke kulit’.

  Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.

  Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengangkatnya sebagai anak angkat dan kesemua mereka telah memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia.

 Sehubungan itu Dr Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki kepada beliau.

  Dalam keadaan tertentu, Muhammad Fuad bukan sahaja mengunjungi guru-gurunya tetapi sebaliknya mereka sendiri yang berkunjung ke rumahnya untuk mengajar beliau.

  "Kadang-kadang sekiranya saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih Yang Mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau di sini.

  Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar itu memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

  Menurut Muhammad Fuad, beliau hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti itu, iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

  "Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka.

  "Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari sepanjang tempoh itu.

  "Saya akan pergi menadah kitab secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," katanya yang amat memuliakan kesemua gurunya.

  Bagaimanapun, beliau yang tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain itu telah diminta oleh rakan pelajar untuk mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti.

  Muhammad Fuad yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah mengenai perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam Bahasa Arab pada tahun 1993 setelah setahun berada di Mesir.

  Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata ini telah berjaya menghasilkan 115 buah kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli pengajian serta menjadi rujukan kepada ulama lain, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di luar negara.

  Kitab-kita tersebut ialah tiga buah kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 buah kitab karangan fikah, sembilan buah kitab karangan tasawuf, enam buah kitab karangan sirah, 10 buah kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

  Malah, beliau yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan, juga menulis 12 kitab bahasa Arab (Al Toli’al Sa’id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari) - kitab yang berkaitan ilmu hadis dan diterbitkan di Mesir.

  Kitab karangan beliau dalam bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al Azhar, Mesir seperti Professor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti Al Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir Al Quran, al-Azhar.

  Ketokohan bukan sahaja diperakui di negara ini tetapi turut mendapat undangan memberikan ceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

  Menceritakan proses penulisan buku, beliau mensyaratkan dirinya untuk menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

  Beliau juga akan menulis kitabnya tidak mengira masa walau di mana berada selagi ilham dan idea itu melimpah.

  "Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu kepada keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah merupakan maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

  Beliau bagaimanapun mengakui terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab dalam pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

  "Sebagai contoh ialah Ibn Shahin yang telah menulis 33,000 buah kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari telah menulis lebih 600 jilid kita dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah syaratkan dirinya untuk menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

  "Tanpa elektrik, komputer dan internet mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini, maka tidak mustahil bagi kita yang memiliki segalanya untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  Setelah kembali ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan ini telah membuka pondok pengajiannya di kawasan setengah ekar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17.

  Kemudian, ahli pengajiannya semakin bertambah sehingga memerlukan kawasan yang lebih besar dan selesa, maka kawasan seluas kira-kira 4 hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

  Ditanya mengenai sambutan orang ramai terhadap usaha dakwahnya memandangkan usianya yang boleh dikira sebagai setahun jagung, iaitu hanya 22 tahun semasa menubuhkan pondok itu.

  Beliau sambil merenung jauh menjawab dengan menyebut petikan pujangga Arab yang bermaksud:" Bahawa orang-orang yang dikurniakan nikmat (termasuk ilmu pengetahuan) akan dikelilingi oleh mereka yang berhasad dengki".

  Katanya, pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya seperti dikatakan membawa fahaman yang sesat.

  "Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredhaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan masyarakat mulai dapat menerima usaha yang dijalankan," katanya.

  Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

  "Saya tak merasa tekanan, saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.

  Menyedari usaha dakwah sejak zaman Rasulullah lagi tidak pernah sunyi daripada hasutan dan tipu helah syaitan untuk terus menghasut manusia supaya tidak menerima perkara baik dan meneruskan kejahatan.

  Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya dari Pencipta. - YSNS

Umum 7:40 am

            Yayasan Sofa Negeri Sembilan (0202-04-9) telah didaftarkan pada 17 Februari 2004, yang beralamat di Kampung Bukit Sembilan, 71350 Kota, Negeri Sembilan. Yayasan Sofa ditubuhkan dengan tujuan :

• Mewujudkan suatu dana atau tabung amanah bagi membiayai program-program Yayasan yang berbentuk keilmuan (dakwah) dan kebajikan.

• Memegang amanah dan menguruskan harta individu atau organisasi untuk manafaat kebajikan.

• Memberikan bantuan kepada pelajar miskin dan anak yatim untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran.

• Memiliki harta dan aset-aset bagi melaksanakan program pendidikan untuk untuk kepentingan masyarakat.

PROGRAM ANAK YATIM DAN GOLONGAN DUA’FA’ Yayasan Sofa Negeri Sembilan telah menjalankan Program Pengambilan Anak Yatim dan Miskin yang di tempatkan di Kediaman Kg. Bukit Sembilan Chengkau Ulu, 71300 Kota, Negeri Sembilan bermula sejak sesi 2005 yang lalu.

YSNS merancang untuk mengumpulkan pelajar Anak-anak Yatim dan Miskin ini sehingga 200 orang pelajar. Segala kos bagi kelengkapan, pakaian sekolah dan penginapan serta makanan pelajar ini ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan secara PERCUMA.

Mereka bersekolah di sekolah kerajaan yang berhampiran, iaitu di Sekolah Men. Keb. Astana Raja, 71300 Rembau Negeri Sembilan dan Sekolah Kebangsaan Chengkau, 71300 Rembau, N. Sembilan.

Berbagai Program Pendidikan Agama Islam disediakan di kediaman ini dan pelajar-pelajar berpeluang mempelajari lebih dekat Ilmu-Ilmu Agama serta pengajian kitab. Setiap pelajar tertakluk kepada peraturan dan disiplin Asrama yang disediakan bagi melicinkan setiap aktiviti harian pelajar. Kegagalan untuk mematuhi sebarang peraturan asrama ini akan dikenakan tindakan.

PENGAMBILAN PELAJAR SESI PERSEKOLAHAN 2007

Alhamdulillah, lebih dari 70 permohonan yang diterima dan setelah dibuat tapisan tertentu , hanya 50 orang pelajar sahaja, terdiri daripada Tahun 4 hingga Tingkatan 3, yang diterima masuk. Tahap umur di antara 10 hingga 15 tahun ini adalah sesuai kerana tahap pendidikan kanak-kanak seusia ini adalah paling cepat berkembang dan mereka mampu untuk berdikari. Adalah dijangkakan bahawa kanak-kanak itu akan berpeluang untuk mengikut pendidikan awalannya di sini selama tempoh 6 tahun ( Tahun 4 hingga Tingkatan 3 ).

Alhamdulillah, program ini telah berjalan lancer walaupun terdapat beberapa kekurangan dan masalah, khasnya dari segi kemudahan pengangkutan, peralatan dan kos perbelanjaan. Oleh itu dalam tempoh terdekat ini, Yayasan ini sedang berusaha untuk mendapat sebuah pengangkutan / bas / van bagi memenuhi keadaan dan keperluan penuntut ilmu dan ana-anak ini.

SUMBER KEWANGAN

Untuk mendapatkan dana dan sumber kewangan bagi menampung kos pembiayaan Anak-anak Yatim dan Miskin ini, yuran dan derma di kalangan ahli telah pun dilaksanakan disamping :

1. Ahli-ahli Yayasan Sofa bersetuju untuk menjadikan anak-anak yatim dan miskin ini sebagai anak-anak dan keluarga angkat mereka dengan membentuk kumpulan dan berkongsi untuk membantu segala kos pembiayaan bagi seseorang pelajar itu.

2. Sumbangan bantuan / derma dari orang perseorangan dan pihak kerajaan dan syarikat swasta yang diterima dari masa ke semasa dalam membantu meningkatkan dana Yayasan Sofa.

3. Mengadakan program atau kursus yang boleh mendatangkan dana seperti kursus amali dan praktikal solat, kursus pemahaman fardhu ain , tafaqquh fi al din, kelas tahsin Al-Quran, kem cuti sekolah dan motivasi, tiusyen dan sebagainya.

4. Berusaha mendapatkan berbagai tajaan dan sponsor dalam bentuk barangan dan alatan untuk melengkapkan keperluan perkara yang berkaitan dengan pelajar anak-anak yatim dan miskin ini.

Yayasan Sofa sentiasa mengharapkan bantuan, kerjasama dan sumbangan, idea dan pandangan, demi meningkatkan lagi pencapaian dakwah dan perkembangan pendidikan serta kebajikan terhadap Anak Yatim dan Miskin serta golongan Dua’fa’ ini.

Kami mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan atau sumbangan demi kebaikan dan kebajikan yang lebih menyeluruh terhadap penuntut-penuntut ilmu ini.

Sebarang bentuk bantuan , pertanyaan, sumbangan @ untuk keterangan lanjut, sila hubungi kami di talian : 019-663 7785 @ 019-227 9226 Akaun RHB No. : 25504700001867