BERSAMA MENUJU PUNCAK SEJAHTERA
UmumJanuary 30, 2007 7:19 am

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Banyak Peristiwa Besar Berlaku Pada 10 Muharam dan Berganda Perkara Sunat

           BANYAK peristiwa penting berlaku pada 10 Muharam yang menunjukkan kebesaran Allah. Antara peristiwa itu adalah Allah menerima taubat Nabi Adam, Allah menyelamatkan Nabi Musa daripada tenggelam di laut apabila dikejar Firaun dan tenteranya serta Allah selamatkan Nabi Ibrahim daripada dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud.

            Pada tarikh itu juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya daripada ombak besar yang melanda bumi dan Allah menyelamatkan Nabi Yunus yang tidak henti berzikir selama 40 hari dalam perut ikan nun. Justeru, hari yang dinamakan Hari Asyura itu sewajarnya dijadikan permulaan baik untuk menempuh tahun baru 1428 Hijrah dengan memperbanyakkan amalan sunat yang dianjurkan seperti berpuasa dan bersedekah. Amalan baik dianjurkan pada 10 Muharam tidak terhad kepada puasa sunat dan memasak bubur Asyura.

           Apa juga amalan baik boleh dilakukan pada hari itu dan hari seterusnya pada Muharam kerana banyak amalan dianjurkan Islam untuk dilaksanakan umatnya sepanjang bulan ini. Masyarakat perlu faham keperluan atau apakah diharapkan daripada mereka apabila disarankan melaksanakan amalan sunat pada hari tertentu seperti dianjurkan Islam. Amalan sunat boleh diibarat seperti aksesori tambahan pada kereta. Ada badan, tayar, enjin dan stereng, kereta boleh jalan.

          Tetapi apabila ditambah sport rim dan sarung kulit, maka kereta nampak lebih cantik dan menambah nilai kenderaan itu. Begitu juga ibadat wajib seperti solat dan puasa, jika tidak ditambah dengan amalan sunat, bukan tidak elok tetapi tidak cantik. Untuk mencantikkan, kita banyakkan amalan sunat. Walaupun peristiwa besar banyak berlaku pada 10 Muharam, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat sepanjang bulan pertama kalendar Islam itu yang juga termasuk dalam empat bulan diharamkan Allah berperang.

           Amalan puasa sunat 10 Muharam mengambil iktibar daripada puasa dilakukan Nabi Musa sebaik terselamat daripada dikejar Firaun dan tenteranya, juga puasa Nabi Nuh yang diselamatkan daripada banjir besar. Biarpun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi. Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, Rasulullah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu bertanya kenapa mereka berpuasa pada hari itu? Orang Yahudi menjawab, mereka berpuasa sebagai mengenang hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun dengan askarnya, maka Nabi Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari itu. Maka Rasulullah berkata: "Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu." Lalu Baginda berpuasa dan menyuruh sahabatnya agar berpuasa juga pada hari itu.

       

            Kebetulan 10 Muharam tahun ini jatuh pada semalam, jadi sebaiknya kita berpuasa semalam dan hari ini atau hari ini dan esok. Ia bagi mengelakkan kita meniru puasa orang Yahudi.Tetapi jika hendak buat semalam saja pun tidak mengapa kerana niat kita lain dengan mereka.

          Berpuasa pada Hari Asyura sangat besar pahala seperti hadis yang diriwayatkan Al-Imam Muslim daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Akan digantikan kejahatan pada tahun sebelumnya dengan kebaikan (dengan sebab puasanya itu)." Selain puasa sunat, amalan baik yang dikerjakan ulama ialah solat sunat 10 Muharam yang dilakukan selepas solat fardu kecuali selepas Subuh dan Asar. Selepas solat sunat, digalakkan membaca doa bermaksud: "Allah yang memelihara, sebaik-baik penolong, sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik memberi pertolongan” atau dengan membaca doa dianjurkan Saidina Ali yang memohon Allah menunjukkan jalan lurus, dijauhkan bala bencana dan dikabulkan hajat.

          Begitu juga dengan amalan memasak bubur Asyura untuk disedekahkan, seeloknya tradisi itu diteruskan sebagai pengerat silaturahim antara saudara dan jiran tetangga. Secara tidak langsung kegiatan seperti itu memupuk kemesraan dan menggalakkan orang kaya bersedekah kepada fakir miskin. Masyarakat hari ini perlu peka dan meraikan Hari Asyura dengan amalan meningkatkan iman mereka.

INFO

Peristiwa penting pada 10 Muharam

• Nabi Adam bertaubat kepada Allah.

• Nabi Idris diangkat Allah ke langit.

• Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari bahteranya sesudah bumi d ditenggelamkan selama enam bulan.

• Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar Raja Namrud.

• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

• Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara

• Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob.

• Nabi Isa diangkat ke langit.

• Nabi Ayub dipulihkan Allah daripada penyakit kulitnya

• Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

• Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun.

• Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud.

• Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.

• Hari pertama Allah mencipta alam.

• Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

• Hari pertama Allah menurunkan hujan.

• Allah menjadikan Arasy.

• Allah menjadikan Luh Mahfuz.

• Allah menjadikan Malaikat Jibril.

Wallahu aqlam.

UmumJanuary 24, 2007 11:13 am

DOA TAWASSUL

Berkata sebahagian ahli arifin:


ذَنْبِي عَظِيْمٌ يَـا عَظِيْمُ       **     فَإِنَّنِي بِمُحَمَّدٍ أَرْجُوْ السَّمَاحَةَ فِيْهِ

    فَبِهِ تَوَسَّلَ أَدَمٌ مِنْ كَرْبِهِ      **     فَقَدِ اهْتَدَى مَـنْ يَقْتَدِي بِـأَبِيْه

"Dosaku terlalu besar wahai Yang Maha Besar! Sesungguhnya aku dengan (keberkatan) Nabi Muhammad  mengharapkan keampunan, Maka dengannya, Nabi Adam  bertawassul daripada kesalahannya, maka telah mendapat petunjuk sesiapa yang mengikut ayahnya ( Nabi Adam )."

UmumJanuary 19, 2007 7:51 am
            

               Mudah-mudahan tahun hijrah 1428, yang  menjelang tiba petang ini, membawa kebahagiaan buat kita  dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah.  

            Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnu Jauzi ( bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah ) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w.

Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikan Nya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

        Sempena  semangat Tahun Baru Hijrah 1428 ini , kami  siarkan di sini dua shighah Sholawat Syifa` atau dikenali juga sebagai Sholawat Thibbiyyah yang masyhur. Dinamakan sedemikian yang membawa erti penawar atau ubat kerana dalamnya terkandung tawassul kita dengan Junjungan Nabi s.a.w. yang diumpamakan sebagai keafiatan bagi segala tubuh dan penawarnya, cahaya bagi segala mata dan sinarnya, makanan bagi segala roh dan santapannya.

            Imam ‘Arif billah Sayyid Syaikh Ahmad ash-Showi dalam mensyarahkan makna sholawat ini telah membuat kesimpulan antaranya:-

" Maknanya secara menyeluruh ialah bahawasanya Allah Ta`ala menjadikan atas tangan baginda s.a.w. (sebab) untuk menolak kemudaratan yang zahir dan yang batin, yang berupa urusan akhirat maupun urusan dunia, sebagaimana telah dijalankan (dijadikan) atas tangan baginda (sebab bagi) berbagai manfaat. Inilah maknanya tashrif Allah bagi baginda di dunia dan di akhirat, atas batasan yang difirmankan Allah ta`ala pada hak Nabi ‘Isa a.s.: "Dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu" (surah al-Maaidah:110), maka apa yang tsabit berlaku pada Sayyidina ‘Isa a.s., maka ianya juga (harus terjadi atau dijadikan) bagi Junjungan Nabi s.a.w. dengan berlebih lagi."

            Sholawat ini telah lama beredar dan diamalkan masyarakat Islam, bukan sahaja di rantau kita tetapi juga di benua-benua lain di mana ada umat yang beriman. Diamalkan bukan sahaja oleh masyarakat awam, tetapi juga oleh para ulama ikutan, bahkan mereka menganjurkan pembacaannya untuk ubat hati dan afiat badan dan cahaya mata. Inilah antara kelebihan mengamalkan sholawat yang berkat ini menurut kata ulama kita. 

            Selain memperolehi keutamaan bersholawat, kita akan dilindungi Allah dari penyakit-penyakit, sama ada penyakit hissi maupun penyakit maknawi yang lebih kronik lagi, insya-Allah wa bi idznihi demi kemuliaan Junjungan s.a.w. yang kita sebut-sebut dalam sholawat tersebut sebagai wasilah untuk tujuan itu.

          Renungilah tulisan Ustaz Abu ‘Ali al-Banjari Ahmad Fahmi al-Maliki dalam muqaddimah untuk terjemahannya bagi Qasidah Burdah yang berkat:-

" …. Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda dan dengan berkat Baginda yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."

            Dan satu kelebihan lagi Sholawat ini ialah sebagaimana apa dikatakan oleh Tuan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani:-

"  Dan setengah daripadanya ini shighah (yakni shighah Sholawat Syifa`) yang amat baik, sayogia dijadikan penawar bagi segala isim dan dzikir yang panas-panas. "

Dipanjangkan dari bahrusshofa.blogspot

Wallahu aqlam.

UmumJanuary 18, 2007 4:55 am

 

Oleh: ABD. RAZAK ABU CHIK @ Utusan Malaysia ( 18/01/07 ):

                  Pada petang Jumaat dan Sabtu malamnya, Insya-Allah kita akan bermula untuk menyambut Tahun Baru Hijrah 1428. Jadi kita bertuah kerana dalam tempoh hanya tiga minggu kita dapat merayakan dua kali tahun baru. Pada tahun depan pula kita akan merayakan dua tahun baru dalam tempoh cuma 10 hari. Pada tahun seterusnya pula kita dijangka merayakan dua tahun baru selang satu atau dua hari saja.

                   Persoalan yang sering timbul ialah mana satu kita hendak pakai? Tahun Hijrah atau tahun Masihi? Dalam hal ini kita boleh menggunakan salah satu daripadanya. Walaubagaimanapun, adakah ini hal yang terbaik untuk kita ? Kita harus membuat kajian terperinci setiap hal yang berkaitan dengan kedua tahun ini….

                  Tahun Hijrah adalah berdasarkan bulan, manakala tahun Masihi pula berdasarkan matahari. Antara bulan dan matahari, kedua-duanya sama penting kepada kehidupan kita. Di sebelah siang, matahari menyinari kehidupan kita. Pada waktu malamnya pula bulan yang sudi menyuluh kegelapan yang kita hadapi.

                   Dalam hal ini, kita selalu teringat bait-bait puisi yang sering kita lafazkan ketika tibanya Maulidun Nabawi atau Maulidur Rasul. Bait-bait puisi ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:

Anta Syamsun Anta Badrun

( Kaulah umpama matahari dan kaulah umpama bulan )

Anta Nurun Fauqa Nuri

( Kaulah umpama cahaya di atas cahaya )

                  Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran, berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.

                   Allah berfirman, Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan seperti mana dalam kitab Allah pada hari di mana Allah menjadikan langit dan bumi ini. Antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). (at-Taubah: 36) Sehubungan itu kita dapat perhatikan semua tahun sama ada tahun Hijrah, tahun Masihi, tahun Arab, tahun Cina, tahun India dan apa jua perkiraan tahun memiliki 12 bulan.

                   Selain itu, jika kita menganalisis ayat al-Quran kita dapati perkataan shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali. Antaranya ialah ayat yang sering dibaca ketika bulan Ramadan iaitu dalam Surah al-Qadr yang bermaksud, Lailatul qadar lebih baik daripada 1,000 bulan.

                

    Sempena sambutan Maal Hijrah ini marilah kita merenung sejenak kedudukan umat Islam sekarang. Dalam minggu ini suasana masyarakat Islam di Malaysia ialah mereka banyak mengadakan perayaan sambutan Maal Hijrah sama ada di masjid atau di surau. Antara aktiviti yang paling popular ialah aktiviti ceramah tentang peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah. Kebanyakan penceramah akan menyampaikan cerita tentang perjalanan penuh ranjau ke Yathrib (Madinah) yang dilalui oleh Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar.

                   Antara slot yang sering difokuskan ialah peranan labah-labah yang telah membuat sarang sebaik sahaja Nabi dan sahabatnya memasuki gua Thur. Langkah labah-labah tersebut menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berminat masuk ke dalam gua tersebut kerana merasa yakin bahawa tiada orang dalam gua kerana ada sarang labah-labah. Pada fikiran mereka, jika ada orang yang masuk sudah tentulah sarang tersebut terkoyak. Sehubungan itu, labah-labah dianggap sebagai binatang yang mulia kerana menjadi penyelamat. Oleh itu, tidak hairanlah kalau gambar labah-labah dijadikan lambang utama atau ikon bagi sambutan Maal Hijrah di Malaysia.

                   Tahukah anda, bahawa peranan yang dimainkan oleh labah-labah tersebut telah menarik perhatian para saintis Barat. Di ketika masyarakat Islam di Malaysia masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah. Antara hasil dapatan yang diperolehi ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Setelah dibuat perbandingan didapati bahawa baju daripada air liur labah-labah didapati lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli.

                   Hasil kajian ini, Barat membuat tindakan drastik. Mereka pun membuat projek mega dengan menternak labah-labah secara besar-besaran dan membina kilang memproses air liur labah-labah. Di samping itu kajian ilmiah tentang rahsia labah-labah diteruskan dari semasa ke semasa. Hari ini, negara-negara Barat seperti Britain menggunakan teknologi ini dalam bidang pertahanan. Mereka begitu yakin dengan fungsi labah-labah yang menjadi benteng yang kuat sehinggakan pihak musuh tidak dapat menyerang Nabi dan sahabatnya.

                   Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat Islam di Malaysia dan para saintis di Barat? Masyarakat Islam di Malaysia hanya berminat dengan kisah-kisah perjuangan Nabi tetapi rata-ratanya masih lagi kurang berminat untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Para saintis di Barat sangat berminat mengkaji sirah Nabi dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Sehubungan itu, siapa yang lebih menghayati Maal Hijrah?

                   Tahukah Anda ?

                   Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim. Jika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari). Jika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).

                   As-habul Kahfi ( sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua ) tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut ( thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a ) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.  Wallahu aqlam

… MoNoLoG….AnAloG….

( … di dalam menghayati dan mengenangi episod-episod  dan peristiwa lalu, kehidupan sepanjang tahun yang lalu ( 2006 ), tetiber lamunan ini  terhenti kepada  suatu kenangan semasa Seminar Ahli  Sunnah wal Jamaah yang pernah di adakan di Kuantan dan juga  di UIA pada Ogos/September  2006 ) berkaitan dengan satu tajuk di Seminar itu,  Hadis Jariah …. lalu terbaca juga beberapa artikel daripada kalangan rakan-rakan …. )

Hadits Jariah - Imam Muslim

 

Antara dalil yang biasa dikemukakan oleh puak hasywiyah bagi menetapkan Allah bertempat di langit ialah Hadits Jariah. Maka dijajalah hadits ini ke sana ke mari untuk menegakkan pegangan mereka bahawa Allah itu mengambil tempat di langit, subhanAllah. Maka ramai, kalangan awam terpengaruh dengan kalam fahisy mereka ini, serta beri’tiqad bahawa Allah itu di langit, subhanAllah. Tidaklah mereka mengetahui bahasan dan penjelasan dan keterangan daripada para ulama kita berhubung dan mengenai hadits tersebut, sama ada kerana memang mereka tidak mengetahuinya atau sengaja buat-buat tak tahu. Ulama-ulama kita sebenarnya telah membahaskan dengan panjang lebar akan hadits ini dari segala aspeknya, baik sudut riwayat dan thuruqnya, sehinggalah kepada perbezaan lafaznya antara satu riwayat dengan riwayat yang lain kerana Hadits Jariah ini mempunyai riwayat yang berbilang-bilang.
Untuk posting ini aku nukil yang diriwayatkan Imam Muslim dalam “al-Jami` ash-Shohih” jilid 1, juzuk 2, halaman 70 - 71, kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih. Ianya adalah sebahagian daripada hadits yang panjang yang menceritakan kisah Sayyidina Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy r.a. mentasymit seseorang yang bersin ketika bersholat di belakang Junjungan Nabi s.a.w., lalu selesai sholat dia ditegur oleh Junjungan Nabi s.a.w. dengan menyatakan bahawa dalam sholat tidak boleh berbicara selain daripada tasbih, takbir dan pembacaan al-Quran. Setelah itu Sayyidina Mu`aawiyah telah bertanya beberapa persoalan kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan di antaranya ialah mengenai permerdekaan seorang hambanya (jariahnya) yang telah ditempelengnya. Untuk ringkas aku tidak nukilkan keseluruhan hadits tersebut, cuma aku letakkan di sini bahagian akhirnya berhubung dengan kisah jariah tersebut.

Pada halaman 71, jilid 1, juzuk 2 kitab tersebut, Imam Muslim rhm. meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:

” (Telah berkata Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy) Aku mempunyai seorang jariah yang menggembala kambingku di sebelah bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing dari gembalaannya. Dan aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Junjungan Nabi s.a.w. dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (yakni menampar muka si jariah tersebut). Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulallah, adakah kumerdekakan dia”, (yakni sebagai menebus kesilapan menampar tadi, dia hendak memerdekakan si jariah tersebut) ? Junjungan Nabi s.a.w. menyuruh agar si jariah didatangkan kepada baginda. (Apabila si jariah berada di hadapan Junjungan Nabi s.a.w.), Junjungan Nabi s.a.w. bertanya kepadanya: “Di manakah Allah ?” Jariah tersebut menjawab: ” Di langit.” Junjungan s.a.w. bertanya lagi: “Siapakah aku?”, jariah tersebut menjawab: “Engkau Rasulullah.” Junjungan bersabda: “Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman.”

Itulah matan hadits mengenai jariah tersebut, manakala di pinggir atau tepi halaman yang sama tercatat nota tepi seperti berikut:

Perkataannya (yakni perkataan dalam matan hadits) - “Dia (si jariah) berkata: “Di langit,” - yakni (sebagai membuktikan) bahawasanya dia bukan termasuk dalam golongan yang menuhankan selain Allah yang Maha Gagah yang kegagahan dan keperkasaanNya mengatasi segala hamba dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya. Dan dikatakan bahawasanya tafsir bagi firman Allah : “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu …” (al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), tafsir “Dia yang di langit” itu ialah Allah ta`ala dengan takwil kekuasaanNya (yakni ditafsirkan dengan takwil seperti dikatakan “Allah yang (kekuasaanNya) di langit” atau “Allah yang (pusat kekuasaanNya atau pemerintahanNya) di langit”, bukan hanya ditafsirkan dengan semata-mata makna “Allah yang di langit”)

Sekarang, mari ikhwah lihat apa perkataan Imam an-Nawawi rhm. berhubung hadits ini. Komentar Imamuna an-Nawawi ini terdapat dalam syarahnya yang masyhur atas Shohih Muslim iaitu “Shohih Muslim bi syarhi al-Imam an-Nawawi”, jilid 3, juzuk 5, halaman 24, di mana Imam an-Nawawi menyatakan, antara lain:-

Sabda Junjungan Nabi s.a.w. (”Di manakah Allah ?” Jariah tersebut menjawab: ” Di langit.” Junjungan s.a.w. bertanya lagi: “Siapakah aku?”, jariah tersebut menjawab: “Engkau rasulullah.” Junjungan bersabda: “Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman.”). Hadits ini adalah daripada hadits-hadits sifat yang dalam memahaminya ada 2 mazhab (jalan atau cara) yang mana kedua-duanya telah dinyatakan terdahulu dalam kitab al-iman (yakni pada awal atau permulaan kitab).

Jalan yang pertama ialah beriman dengannya (yakni dengan hadits tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan i’tiqad bahawasanya Allah ta`ala itu tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadits tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadits tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tawhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersholat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang sholat. Atau si jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (yakni di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: “Di langit,” diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tawhid dan bukannya seorang penyembah berhala (yakni jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).

Telah berkata al-Qaadhi ‘Iyaadh: “Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya (qaathibatan), ahli-ahli fiqh mereka, ahli-ahli hadits mereka, ahli-ahli kalam mereka, para pemuka dan pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu,…..( al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman) dan ayat-ayat yang seumpamanya tidaklah diertikan atau dimaknakan secara zahir bahkan ditakwilkan di sisi mereka semua (yakni semua umat Islam, salaf dan khalaf semuanya mentakwilkan nash-nash ayat dan hadits tersebut, cuma kebanyakan ulama salaf mentakwilkannya secara ijmal sahaja dan mentafwidhkan makna hakikinya kepada Allah semata-mata, sekali-kali tidak mereka berpegang dengan makna zahir ayat dan hadits tersebut, bahkan mereka takwilkan maknanya dengan mengakui kelemahan fikiran mereka untuk memahami makna hakikinya lalu mereka mensucikan Allah dari menyerupai makhlukNya serta menyerahkan bulat-bulat makna dan pengertian ayat atau hadits tersebut kepada Allah s.w.t. sahaja, manakala kebanyakan ulama khalaf mentakwilkannya dengan tafshil).

Diharap ikhwah yang budiman boleh memahami akan perkara ini dengan sebenar-benar faham. Jelas sudah mengikut Imam an-Nawawi yang menukilkan kalam Qadhi ‘Iyaadh yang menyatakan bahawa dengan ayat-ayat atau hadits-hadits sifat yang mutasyabbihat, maka ianya ditanggapi dengan 2 cara atau kaedah, iaitu ditakwilkan secara ijmal dengan mentanzihkan Allah daripada menyerupai makhlukNya yang baharu dan ditafwidhkan maknanya terus kepada Allah semata-mata, tanpa sebarang komentar. Ini yang diisyaratkan oleh Imam Ibnu Hajar al-’Asqalaani yang menyebut dalam “Fathul Bari” bahawa Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang shohih daripada Imam Ahmad bin Abi al-Hawaari bahawasanya Imam Sufyan bin ‘Uyainah rhm berkata: “Segala sifat yang difirmankan Allah bagi diriNya dalam al-Quran, maka tafsirannya ialah pembacaan ayat tersebut dan diam daripada membicarakannya.” Hal ini jugalah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam “Fatawa Haditsiyyah” yang menyatakan bahawa sesungguhnya khilaf ulama salaf dengan ulama khalaf hanyalah pada penggunaan takwil tafshil sahaja, di mana ulama salaf lebih mengutamakan takwil secara ijmal dan mendiamkan diri daripada berbicara lebih lanjut mengenainya kerana keelokan zaman mereka itu menyebabkan perbahasan panjang lebar mengenai hal ini tidak diperlukan. Tetapi para khalaf mengutamakan takwil secara tafshil kerana zaman mereka telah banyak manusia-manusia yang rosak, ahli-ahli bid`ah dan sebagainya.

                     Untuk memperjelaskan lagi, yang dimaksudkan dengan takwil ijmal itu ialah lencongan makna kalimah dengan ringkas tanpa memberi erti alternatifnya. Contoh, kalimah al-yad yakni tangan, jika dikatakan “Tangan Allah atas segala tangan mereka”, maka takwil ijmalnya ialah kalimah tangan di sini dilencongkan maknanya dari pengertian biasa sebagai satu anggota atau satu juzuk tubuh badan kepada makna selain pengertian biasa tersebut, iaitu ianya bukan membawa erti satu anggota atau satu juzuk daripada Dzat Allah yang Maha Mulia, tetapi ianya adalah satu sifat yang tidak kita ketahui akan hakikatnya dan Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya. Maka tangan yang asal maknanya satu juzuk anggota dilencongkan maknanya kepada satu sifat yang lemah akal kita untuk memahami hakikatnya. Inilah takwil ijmal perlakuan kebanyakan salaf. Tidaklah mereka beri’tiqad bahawa Allah itu bertangan dengan tangan yang layak bagi Dzatnya. Ini bukan i’tiqad para salaf, tetapi i’tiqad orang-orang yang mengaku salaf zaman ini. Bila salaf kata tangan Allah, ia merujuk kepada satu sifat dan bukan satu juzuk atau satu anggota daripada Dzat yang Maha Mulia, subhanAllah, Maha Suci Allah daripada berjuzuk-juzuk dan beranggota-anggota. Kaedah ini memang lebih selamat (aslam), kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, tetapi bagi kalangan awam yang hanya duduk mendengar - dengar sahaja mungkin dikhuathiri membawa fitnah kerana awam akan memahami kalimah tangan itu dengan makna lazim iaitu satu anggota, lalu beri’tiqadlah si awam bahawa Allah juga beranggota kerana mempunyai tangan, cuma tanganNya tidaklah seperti tangan makhluk, iaitu tangan yang layak bagi DzatNya, subhanAllah, ini tidak lain melainkan i’tiqad hasywiyah dan mujasimah yang mentasybih serta mentajsimkan Allah, subhanAllah. Oleh itu, apabila sampai zaman khalaf, di mana manusia-manusia terutama golongan awam sudah mengutamakan dunia daripada akhirat, di mana banyak juhala` berbanding ‘ulama, maka para Khalaf yang merupakan pewaris para salaf mentakwilkan ayat-ayat dan hadits-hadits mutasyabbihaat ini dengan takwil tafshil demi menutup jalan bagi awam untuk berfikir yang bukan-bukan terhadap Dzat Allah yang Maha Mulia. Maka ditakwilkan tangan itu kepada kekuasaan dan sebagainya, maka bila dikatakan “Tangan Allah di atas segala tangan mereka”, ditakwilkanlah secara tafshil sebagai “Tangan yakni kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan mereka”. Maka terhindarlah orang awam daripada berfikir yang bukan-bukan, oleh itu dikatakan bahawa jalan khalaf ini lebih ahkam yakni lebih mantap kerana ianya memantap dan menetapkan pegangan awam serta mencegah mereka daripada mengkhayal-khayalkan sifat yang tidak layak bagi Allah, seperti menyerupai akan segala makhluk yang baharu.

                    Harap segala ikhwan, baik lelaki maupun perempuan, khuntsa pun jika ada, faham betul-betul akan bahasan ini. Jika masih belum faham, maka diam itu keselamatan sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. : man shomata najaa (yakni “Sesiapa yang mendiamkan diri, selamat”), dan duduklah tuan dan puan, sidi dan siti di hadapan para ulama tuan-tuan guru dengan mengaji menadah segala kitab peninggalan para ulama salaf dan khalaf. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, bertambah ilmu nescaya bertambah cahaya, insya-Allah, tapi syaratnya hendaklah ilmu yang naafi` yang bermanfaat, bukan ilmu semata-mata ilmu untuk berjidal dan bermegah-megah.

Berbalik kepada hadits jariah tadi, maka selain penjelasan di atas, ada lagi penjelasan dan keterangan lain daripada para ulama kita dari berbagai aspek bahasannya. Dari semua penjelasan tersebut, maka mereka menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan oleh hadits tersebut bukanlah menetapkan tempat bagi Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu bertempat di sesuatu tempat seumpama langit, maka menyalahilah dia akan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, jadi janganlah dok perasan bahawa dirinya pembela Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dan tidaklah tepat baginya untuk menjadikan hadits jariah ini sebagai hujjah untuk mensabitkan bahawa Allah bertempat di langit. Apatah lagi hadits ini walaupun shohih tidaklah mencapai darjat mutawatir. Maka apa caranya dia hendak menjadikan hadits ini sebagai hujjahnya untuk menyesatkan orang yang tidak sependapat dengan i’tiqad hasywiyahnya itu. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang telah ditekan dan diperjelaskan oleh mantan Mufti Tunisia, Syaikh Muhammad Mukhtar as-Salaami (hafizahUllah).

Bahkan, jika dilihat “Shohih Muslim”, kita dapati bahawa Imam Muslim rhm sendiri tidak meletakkan hadits ini dalam kitab al-iman atau bab-bab yang berhubung dengan keimanan dan pegangan aqidah tetapi beliau meletakkannya dalam bab fiqh berhubung hukum hakam sembahyang iaitu kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih (kitab mengenai masjid-masjid dan tempat-tempat sembahyang, bab haram berkata-kata dalam sembahyang serta menasakhkan riwayat yang mengharuskan berkata-kata dalamnya). Maka isyaratnya ialah hadits ini hanyalah untuk dijadikan hujjah dalam bab-bab fiqh semata-mata. Menjadikannya sebagai hujjah dalam mensabitkan secara qathi`e akan usul aqidah menunjukkan lemahnya si penghujjah itu daripada memahami uslub dan kaedah dalam menetapkan ‘aqidah pegangan umat ini. Oleh itu, jika datang kepada ikhwah akan orang yang hendak berhujjah untuk menetapkan Allah bertempat di langit dengan hadits ini, maka katakanlah kepadanya dengan lemah-lembut dan elok perkataan “keribang rebus, pegi belajar lagik…..” dengan nada yang lemah lembut….hehehe….jangan marah noooo…. melawak jee. ( drpd bahrus shofa )

Allahu a’lam

UmumJanuary 15, 2007 6:23 am

Biodata Ringkas Ustaz Fahmi Zam-Zam :

            Di sini diturunkan sebuah biodata ringkas Ustaz Fahmi untuk sesiapa yang kurang mengenali beliau atau masih tercari-cari siapakah gerangan Ustaz Fahmi yang hasil tulisannya banyak didapati di toko-toko buku agama di seluruh negara:

             Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Nadwi Al-Maliki dilahirkan pada tahun 1959 di Amuntai, Banjar Masin, Kalimantan Selatan. Beliau memasuki alam persekolahan di Amuntai sebelum menyambung pengajian di Madrasah Darussalam Martapura, Kalimantan selatan sehingga Tingkatan ‘Aliyah. Beliau seterusnya melanjutkan pendidikan di Yayasan Pesantren Islam Bangil, Jawa Timur.

             Pada tahun 1980, beliau telah meneruskan pengajiannya di India, bersama dengan ulama’ terkenal Samahah As-Sheikh Abul Hassan Al-Hasani An-Nadwi r.h. di Nadwatul Ulama’, Lucknow. Pada tahun 1984, beliau menamatkan pengajiannya di India dan datang ke Malaysia, seterusnya berkhidmat di Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Derang di Pokok Sena, Kedah sehinggalah ke hari ini.

              Pada tahun 1988, beliau berkesempatan berguru dengan As-Sheikh Mohammad Yasin Al-ngan As-Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki, sehingga dianugerahkan dengan gelaran keluarganya “Al-Maliki” pada tahun 2002.

              Beliau juga merupakan Mudir, Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah (Yasin) di Banjar Baru dan Pasentren Yasin di Warateweh, Kalimantan, Indonesia yang dibuka pada tahun 2001 dan 2003. Disamping itu, beliau adalah Ketua Umum Majelis Ulama’ Indonesia Kabupaten Barito Utara, Kalimantan Tengah untuk sessi 2004 – 2009.

              Melalui penerbitan Khazanah Banjariah, Al-Fadhil telah bergiat aktif dalam usaha pengeluaran kitab-kitab berbahasa Melayu. Antara lain, Al-Fadhil telah banyak menyusun kitab-kitab kumpulan hadits-hadits seperti ‘40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman’, ’40 Hadis Penawar Hati’ dan ‘40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama’. Al-Fadhil juga telah mentahkik dan menerbitkan semula kitab-kitab karangan ulama’ silam Nusantara As-Sheikh Abdul Samad Al-Falimbani seperti ‘Sairus Salikin’ (4 jilid) dan ‘Hidayatus Salikin’.

              Disamping itu, Al-Fadhil juga aktif menterjemahkan kitab-kitab tasawuf yang ulung seperti ‘Bidayatul Hidayah’ dan ‘Ayyuhal Walad’ karangan Imam Al-Ghazali serta ‘Bustanul Arifin’ karangan Imam An-Nawawi.

Umum, FotoJanuary 11, 2007 9:31 am

                      Ustaz Abu Ali al-Banjari al-Nadwi (Ahmad Fahmi Zam-Zam) seorang murid rapat al-Marhum Shaykh Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani dan penulis biografi al-Marhum, telah memetik sebuah hadith di dalam bukunya ‘Empat Puluh Hadis Penawar Hati’ yang berbunyi:

“Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. pada satu riwayat yang Baginda meriwayatkan daripada Allah S.W.T. (ertinya dalam hadis qudsi) sabdanya: “Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa lalu ia berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosaku” maka Allah S.W.T. berfirman baginya: “Hambaku melakukan sesuatu yang berdosa lalu ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosanya atau boleh juga menjatuhkan hukuman dengan sebab adanya dosa itu.” Kemudian apabila hamba itu kembali berbuat dosa lalu ia berdoa pula: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku,” maka Allah S.W.T. berfirman: “Hambaku telah melakukan dosa dan ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni segala dosa atau boleh pula menyiksa dengan sebab dosa itu.” Kemudian hamba itu sekali lagi berbuat dosa maka ia lalu berkata: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku”, maka Allah S.W.T. berfirman kepadanya: “Hambaku berbuat dosa dan ia menyedari bahawa baginya ada Tuhan yang mengampuni segala dosa dan boleh menyiksa dengan sebab dosa itu. Sesungguhnya Aku mengampuni segala dosa hambaKu, maka hendaklah ia berbuat sesuka hatinya.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Kemudian, telah memetik Uztaz Abu Ali sebuah hadith lagi yang berbunyi:

“Daripada Anas r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah S.W.T. telah berfirman (dalam hadis qudsi): “Hai anak Adam! Selama engkau masih berdoa dan berharap kepadaKu, Aku mengampuni bagimu akan segala dosa yang ada padamu dan aku tidak peduli (walaupun dosa itu banyak sekali). Hai anak Adam! Jikalau seandainya dosamu itu sampai ke atas awan yang ada di langit, kemudian kamu datang mengharapkan keampunan daripadaKu nescaya Aku berikan keampunan kepadamu. Hai anak Adam! Sesungguhnya jikalau engkau datang kepadaku membawa dosa sepenuh bumi ini, kemudian engkau datang menemui Aku padahal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datangkan kepadamu sepenuh bumi pula keampuanan.” (Hadith Riwayat Tirmidhi).

Imam al- Ghazali telah menulis di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din, antaranya:

Telah berkata Hudhayfa: “Saya selalu berkata kasar terhadap keluargaku, jadi saya berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya takut lidah saya akan membawa ku ke neraka.” Berkata Nabi yang mulia: “Bagaimana jika kamu meminta ampun? Saya memohon keampunan Tuhan 100 kali setiap hari.

”‘Seorang lelaki yang tidak pernah melakukan kebaikan melihat ke langit dan berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai Tuhan. Wahai Tuhan, ampunilah aku!” dan Tuhan ‘Azza wa Jalla berkata: “Aku sudah terlebih dahulu memaafkannya.”

“Sekiranya seorang lelaki melakukan dosa, tetapi mengetahui bahawa Tuhan melihatnya, di akan mendapat keampunan walaupun tidak memohonnya.” (Hadith Riwayat Tabarani).

Sayyidina ‘Ali Karamallahu Wajhah telah berkata: Adalah menghairankan aku apabila seorang lelaki boleh hancur apabila ia mempunyai jalan untuk menyelamatkan dirinya.” Apabila mereka meminta beliau untuk menerangkan maksudnya, beliau berkata: “Permohonan untuk keampunan!”.

Majlis Ilmu 9:11 am
Penceramah:

 
Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki
Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus.
 
Kitab:
Siyār al-Sālīkīn ila ‘Ibādah Rabb al-‘Abidīn
karangan Shaykh ‘Abd al-Samad al-Palimbani yang merupakan
kitab yang berdasarkan isi kandungan Ihyā’ ‘Ulūm al-Dīn karangan Imam al-Ghazzālī r.h.
 
Waktu:
Setiap hari Isnin, selepas salat Maghrib.

Tempat:

Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus
Semua dijemput hadir.
Umum 8:45 am

Mungkin tajuk ini adalah tajuk ulangan sebelum ini. Tapi kami merasakan penting untuk diri kita dan sahabat-sahabat semua. Jadi, kami ingin berkongsi sedikit ‘ilmu dengan sahabat semua tentang perkara ini.

Junjungan Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Nabi panutan kita telah bersabda lagi yang bermaksud:

Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Bersabda lagi Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w.:

Zikir yang paling baik ialah kalimah لا إله إلا الله” (Hadith Riwayat al-Tirmidhi).

Bahawasanya seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya syari’at Islam sudah banyak saya terima, maka terangkanlah kepada saya sesuatu yang mudah dikerjakan. Nabi menjawab: Hendaklah lidahmu basah dengan zikir Allah.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak berkumpul sesuatu kumpulan dalam rangka berzikir kepada Allah melainkan memeluk akan mereka itu malaikat-malaikat, dilindungi atas mereka rahmat, dan turun ke atas mereka ketenangan dan mereka dingat akan Allah Ta’ala di hadapan makhluk yang banyak pada sisiNya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Berkata Ibnu Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab al-Hikamnya:

Janganlah engkau meninggalkan zikir kerana semata-mata engkau belum benar-benar ingat kepada Allah sewaktu berzikir, sebab kelalaianmu kepada Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalainmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Semoga Allah menaikkan darjatmu melalui zikir yang kamu lakukan dengan lalai, kepada zikir yang penuh sedar kepada Allah. Kemudian ia meningkat pula kepada zikir yang penuh sedar serta ingat kepada Allah kepada zikir yang disertai rasa hadir. Selepas itu ia terus meningkat daripada zikir yang disertai rasa hadir kepada martabat zikir sehingga lupa terhadap sesuatu selain Allah. Hal yang demikian adalah tidak sukar bagi Allah.”

Semoga kita dapat mencapai martabat zikir yang terakhir itu.

 

لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة و نفس عددما و سعه علم الله

 

( rujuk asal drpd malakian.blogsome )

Umum, FotoJanuary 10, 2007 9:05 am

Sayyid Mohd

Haul ke-2 Buya Maliki   ( dalam kenangan )

 

                Subuh hari Jumaat tanggal 15 Ramadhan 1425H, kembalilah seorang ulama besar yang ilmunya tetap bersinar dan insya-Allah akan terus cemerlang melalui karangan dan murid-murid asuhannya. Hari ini 15 Ramadhan 1427H, adalah haul ke-2 pemergian almarhum Habib Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas bin ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki rhm. Beliau adalah merupakan ulama besar dan pembela Ahlus Sunnah wal Jama`ah daripada serangan pentaksub ajaran Wahhabi.
                Beliau dididik dari kecil dengan asuhan agama, telah menghafal al-Quran ketika usianya 7 tahun dan hafal “al-Muwattha`” pada usia 15 tahun. Pada usianya 25 tahun, beliau meraih gelar doktor ilmu hadits dengan predikat mumtaz di bawah bimbingan ulama besar Mesir, Prof. Dr. Muhammad Abu Zahrah. Rehlah ilmiahnya cukup panjang dan luas di bawah bimbingan para ulama yang ‘amilin. Pada 2 Shafar 1421 / 6 Mei 2000 beliau telah dikurniakan dengan gelaran "ustadziyyah" atau "professor" daripada Universiti al-Azhar asy-Syarif.

                Sebagai ulama dan daie, perjalanan hidupnya juga dipenuhi onak dan duri ujian pancaroba seperti jejak para pendahulu beliau. Pada tahun 80-an, terjadi perselisihan besar antara beliau dengan beberapa ulama Wahhabi (semestinya tidak mengaku Wahhabi) yang didokong oleh Kerajaan Saudi. Beliau telah dituduh sesat, penyebar bid`ah dan khurafat (subhanAllah, jika ulama besar lagi keturunan asyraf yang mulia ini juga tidak terlepas daripada tohmahan dan tuduhan puak mubtadi` Wahhabi-Salafi itu, maka siapakah kita untuk terlepas daripada tuduhan mereka. Oleh itu, jangan gusar apabila dituduh sebagai sesat, syirik dan ahli bid`ah oleh puak-puak tersebut. )

                  Perselisihan tersebut semakin meruncing sehingga beliau diajak berdialog dengan Syaikh Sulaiman ibnu Mani` al-Wahhabi atas saranan Mufti Wahhabi ketika itu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz al-Wahhabi (tanbih: berhati-hatilah dengan fatwa ulama Wahhabi ini) yang memang bermusuh dengan Habib Muhammad al-Maliki. Syaikh Ibnu Mani` kemudian menerbitkan dialognya dengan Habib Muhammad dalam bentuk buku dengan jodol “Hiwar ma`al Maliki li raddi munkaratihi wa dholalatihi” (Dialog bersama al-Maliki pada menolak kemungkaran dan kesesatannya).
                   Habib Muhammad pula menerbitkan bukunya yang terkenal, iaitu “Mafahim yajibu an tushahhah”. Kitab beliau ini telah mendapat pujian dan pengiktirafan oleh ramai ulama besar dari seluruh pelusuk dunia Islam. Selain daripada itu, ulama-ulama Mesir, Tunisia, Kuwait dan sebagainya telah membuat pembelaan mereka terhadap Habib Muhammad al-Maliki dengan lisan dan tulisan. Kezaliman terhadap beliau tidak berhenti setakat itu, tetapi beliau juga telah ditegah dan dikeluarkan dari mengendali halaqah turun temurun keluarga beliau dalam Masjidil Haram oleh gembung-gembung Wahhabi.
                 Semua ini dihadapi beliau dengan penuh kesabaran, setelah ditegah mengajar dalam Masjidil Haram, beliau mengajar di kediaman beliau di Syari` Alawi, Rushaifah, Makkah, kerana beliau berdakwah semata-mata kerana Allah s.w.t. dan Allah itu tidak mengambil tempat. Murid-murid yang memondok di situ ditanggung segala nafkah makan-minum mereka oleh beliau….Allahu…Allah, bandingkan dengan sesetengah pihak sekarang baru buat website yang kononnya Islami, dah mintak sedekah kiri-kanan, bahkan tak segan silu mintak bahagian zakat, kononnya untuk membiayai "jihad" mereka….Allahu…Allah.

                Alhamdulillah, sebelum kewafatan beliau, Allah telah memperlihatkan kejayaan dakwah dan tarbiyah beliau dengan lunturnya sedikit demi sedikit fahaman ekstrem Wahhabi ini dan beliau kembali mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada Kerajaan Saudi. Beliau dimaqamkan di Jannatul Ma’ala dekat dengan maqam nenda beliau Sayyidatina Khadijah ummul mu’minin r.anha. Mudah-mudahan Allah meredhai beliau dan menjadikan tempat kedudukannya Syurga yang tertinggi bersama nendanya Junjungan Nabi s.a.w……

al-Fatihah…….
        Di antara pujian  di kalangan  ulama besar dunia, taqridhz dan taqdim bagi kitab : Mafahim Yajibu an Tusahhah :

1. Syaikh Hasanain Makhluf;
2. Syaikh Muhd al-Khazraji;
3. Syaikh Muhammad an-Najjar;
4. Habib Abdul Qadir as-Saqqaf;
5. Sayyid Abdullah Kanun al-Hasani;
6. Dr. al-Husaini Abdul Majid Hasyim;
7. Sayyid Yusuf ar-Rifa`i;
8. Dr. Abdul Fattah Barakah;
9. Dr. Ahmad Umar Hasyim;
10. Syaikh Muhammad as-Sanrawi;
11. Dr. Abdul Ghani ar-Rajihi;
12. Sayyid Ahmad al-’Audh;
13. Syaikh Muhammad an-Naifur;
14. Syaikh Muhd Faal al-Banaani;
15. Syaikh Muhd Salim ‘Aduud;
16. Syaikh Yusuf ash-Shiddiqi;
17. Syaikh Abdullah al-Ghumari;
18. Syaikh Abdul Aziz al-Ghumari;
19. Sayyid Muhd bin Ali al-Habsyi;
20. Sayyid Ibrahim bin ‘Aqil;
21. Syaikh Muhd Malik al-Kandahlawi
22. Syaikh Muhd Ubaidulah al-Mufti;
23. Dr. Abdur Razzaq Iskandar;
24. Syaikh Muhd Yusuf al-Banuri;
25. Sayyid Muhd Abd. Qadir Azad;
26. Syaikh Nafis al-Husaini;
27. Syaikh Ali Ashghar;
28. Syaikh Muhd Abdul Wahid;
29. Prof. Dr. Hasan Qaribullah;
30. Prof. Ahmad ‘Athar;
31. Sayyid Ahmad Muhd Zabbarah;
32. Syaikh Asad bin Hamzah;
33. Sayyid Abdul Hadi ‘Ujail;
34. Syaikh Muhd Hizam al-Muqrimi;
35. Syaikh Ahmad Ali al-Washabi;
36. Sayyid Muhd bin Sulaiman;
37. Syaikh Abd Karim bin Abdullah;
38. Syaikh Husain bin Abdullah;
39. Sayyid Muhd Ali al-Baththah;
40. Syaikh Muhd Ali Mukram;

cukup 40, ada lagi, tapi tak laratlah nak tulis…

Sejarah Ringkas
As-Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas Al-Maliki Al-Hasani
(Rahmatullahi Alaih)

Oleh muridnya: Fakhruddin Owaisi Al-Madani
Terjemahan : Syed Abdul Kadir Aljoofre

Pendahuluan

As-Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki adalah salah seorang ulamak Islam yang terutama desawarsa ini tanpa ragu lagi, ulamak yang paling dihormati dan dicintai di kota suci Makkah.

Beliau merupakan keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam turath. Menziarahi beliau merupakan suatu kemestian kepada para ulamak yang menziarahi Makkah.

Keluarga

Keturunan Sayyid merupakan keturunan mulia yang bersambung secara langsung dengan Junjungan kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri. Beliau merupakan waris keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.

Keluarga Maliki merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di Makkah dan telah melahirkan alim ulamak besar di Makkah, yang telah mengajar di Makkah berkurun lama.

Lima orang dari keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab Maliki di Haram Makkah. Datuk beliau, Al-Sayyid Abbas Al-Maliki, merupakan Mufti dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan ini ketika pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan seterusnya terus memegang jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi diasaskan. Raja Abdul Aziz bin Sa’ud sangat menghormati beliau. Riwayat lanjut beliau boleh dirujuk pada kitab Nur An-Nibras fi Asanid Al-Jadd As-Sayyid Abbas oleh cucunya As-Sayyid Muhammad Al-Maliki.

Bapa beliau pula, As-Sayyid Alawi Al-Maliki merupakan salah seorang ulamak Makkah terunggul di abad yang lalu. Beliau telah mengajar pelbagai ilmu Islam turath di Masjidil Haram selama hampir 40 tahun. Ratusan murid dari seluruh pelusuk dunia telah mengambil faedah daripada beliau melalui kuliah beliau di Masjidil Haram, dan ramai di kalangan mereka telah memegang jawatan penting agama di negara masing-masing.

Malah, Raja Faisal tidak akan membuat apa-apa keputusan berkaitan Makkah melainkan setelah meminta nasihat daripada As-Sayyid Alawi. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1971 dan upacara pengebumiannya merupakan yang terbesar di Makkah sejak seratus tahun. Dalam tempoh 3 hari daripada kematian beliau, Stesyen Radio Saudi tempatan hanya menyiarkan bacaan Al-Quran, sesuatu yang tidak pernah dilakukan melainkan hanya untuk beliau.

Maklumat lanjut tentang As-Sayyid Alawi boleh dirujuk kepada biografinya berjudul Safahat Musyriqah min Hayat Al-Imam As-Sayyid As-Syarif Alawi bin Abbas Al-Maliki oleh anaknya, yang juga merupakan adik kepada As-Sayyid Muhammad, As-Sayyid Abbas Al-Maliki. As-Sayyid Abbas juga seorang ulamak, tetapi lebih dikenali dengan suara merdunya dan pembaca Qasidah yang paling utama di Arab Saudi. Biografi ini mengandungi tulisan berkenaan As-Sayyid Alawi dari ulamak dari seluruh dunia Islam.

Keluarga Maliki juga telah melahirkan ramai lagi ulamak lain, tetapi penulis hanya menyebut bapa dan datuk kepada As-Sayyid Muhammad. Untuk maklumat lanjut, rujuk tulisan-tulisan berkaitan sejarah Makkah dan ulamaknya di abad-abad mutakhir.

Kelahiran dan Pendidikan Awal

As-Sayyid Muhammad Al-Hasani bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz, dilahirkan pada tahun 1946, di kota suci Makkah, dalam keluarga Al-Maliki Al-Hasani yang terkenal, keluarga Sayyid yang melahirkan ulamak tradisi. Beliau amat beruntung kerana memiliki bapa seperti As-Sayyid Alawi, seorang ulamak paling berilmu di Makkah. Bapa beliau merupakan guru pertama dan utama beliau, mengajar beliau secara peribadi di rumah dan juga di Masjidil Haram, di mana beliau menghafal Al-Quran sejak kecil. Beliau belajar dengan bapa beliau dan diizinkan untuk mengajar setiap kitab yang diajarkan oleh bapa beliau kepada beliau.

Pendidikan Lanjut

Dengan arahan bapanya, beliau juga turut mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu turath Islam: Aqidah, Tafsir, Hadith, Feqh, Usul, Mustalah, Nahw dan lain-lain, di tangan ulamak-ulamak besar lain di Makkah serta Madinah. Kesemua mereka telah memberikan ijazah penuh kepada beliau untuk mengajar ilmu-ilmu ini kepada orang lain.

Ketika berumur 15 tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar kitab-kitab Hadith dan Feqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Beliau menerima ijazah PhD daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun, menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah PhD dari Al-Azhar. Tesis beliau berkenaan Hadith telah diiktiraf cemerlang dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulamak unggul di Al-Azhar ketika itu, seperti Imam Abu Zahrah.

Perjalanan Mencari Ilmu

Perjalanan menuntut ilmu merupakan jalan kebanyakan ulamak. As-Sayid Muhammad turut tidak ketinggalan. Beliau bermusafir sejak usia muda untuk menuntut ilmu dari mereka yang memiliki ilmu. Beliau telah bermusafir dengan banyak ke Afrika Utara, Mesir, Syria, Turki, dan rantau Indo-Pak untuk belajar dari alim-ulamak yang hebat, bertemu para Wali Allah, menziarahi masjid-masjid dan maqam-maqam, serta mengumpul manuskrip-manuskrip dan kitab.

Di setiap tempat ini, beliau menemui para ulamak dan auliyak yang agung, dan mengambil faedah daripada mereka. Mereka juga turut tertarik dengan pelajar muda dari Makkah ini dan memberi perhatian istimewa untuk beliau. Kebanyakan mereka telah pun sangat menghormati bapa beliau yang alim, dan merupakan satu kebanggaan memiliki anak beliau sebagai murid.

Ijazah-ijazah

Sistem pengajian tradisi atau turath berasaskan kepada ijazah atau ‘keizinan untuk menyampaikan ilmu’. Bukan semua orang boleh mengajar. Hanya mereka yang memiliki ijazah yang diktiraf dari alim-ulamak yang terkenal sahaja yang boleh mengajar. Setiap cabang pengetahuan dan setiap kitab Hadith, Feqh, Tafsir dan lain-lain, mempunyai Sanad-sanad, atau rantaian riwayat yang bersambung sehingga kepada penyusun kitab tersebut sendiri melalui anak-anak muridnya dan seterusnya anak-anak murid mereka. Banyak sanad-sanad yang penting, seperti sanad Al-Qur’an, Hadith dan Tasawwuf, bersambung sehingga kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam.

Sayyid Muhammad mendapat penghormatan dengan menjadi Shaykh dengan bilangan ijazah terbanyak dalam waktunya. Beliau juga memiliki rantaian sanad terpendek atau terdekat dengan datuknya, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam.

Di Tanah Arab, tanah kelahirannya, dan dalam permusafiran ilmunya, As-Sayyid Muhammad mendapat lebih dari 200 ijazah dari alim-ulamak teragung di zamannya, di setiap cabang ilmu Islam. Ijazah beliau sendiri, yang beliau berikan kepada murid-muridnya adalah antara yang paling berharga dan jarang di dunia, menghubungkan anak-anak muridnya dengan sejumlah besar para ulamak agung.

Para Masyaikh yang memberikan As-Sayyid Muhammad ijazah-ijazah mereka merupakan ulamak besar dari seluruh dunia Islam. Kita menyebutkan sebahagian mereka:

Dari Makkah:

1)      Bapa beliau yang alim dan guru beliau yang pertama, As-Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki
2)      Shaykh Muhammad Yahya Aman al-Makki
3)      Shaykh al-Sayyid Muhammad al-Arabi al-Tabbani
4)      Shaykh Hasan Sa‘id al-Yamani
5)      Shaykh Hasan bin Muhammad al-Mashshat
6)      Shaykh Muhammad Nur Sayf
7)      Shaykh Muhammad Yasin al-Fadani
8)      Al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi
9)      Al-Sayyid Ishaq bin Hashim ‘Azuz
10)  Habib Hasan bin Muhammad Fad‘aq
11)  Habib Abd-al-Qadir bin ‘Aydarus al-Bar
12)  Shaykh Khalil Abd-al-Qadir Taybah
13)  Shaykh Abd-Allah al-Lahji

Dari Madinah:

1)                Shaykh Hasan al-Sha‘ir, Shaykh al-Qurra of Madinah
2)                Shaykh Diya-al-Din Ahmad al-Qadiri
3)                As-Sayyid Ahmad Yasin al-Khiyari
4)                Shaykh Muhammad al-Mustafa al-Alawi al-Shinqiti
5)                Shaykh Ibrahim al-Khatani al-Bukhari
6)                Shaykh Abd-al-Ghafur al-Abbasi al-Naqshbandi

Dari Hadramawt dan Yaman:

1)       Al-Habib Umar bin Ahmad bin Sumayt, Imam Besar Hadramawt
2)       Shaykh As-Sayyid Muhammad Zabarah, Mufti Yaman
3)       Shaykh As-Sayyid Ibrahim bin Aqeel al-Ba-Alawi, Mufti Ta‘iz
4)       Al-Imam al-Sayyid Ali bin Abd-al-Rahman al-Habshi
5)       Al-Habib Alawi ibn Abd-Allah bin Shihab
6)       As-Sayyid Hasan bin Abd-al-Bari al-Ahdal
7)       Shaykh Fadhl bin Muhammad Ba-Fadhal
8)       Al-Habib Abd-Allah bin Alawi al-Attas
9)       Al-Habib Muhammad bin Salim bin Hafeez
10)   Al-Habib Ahmad Mashhur al-Haddad
11)   Al-Habib Abd-al-Qadir al-Saqqaf

Dari Syria:

1)       Shaykh Abu-al-Yasar ibn Abidin, Mufti Syria
2)       Shaykh As-Sayyid al-Sharif Muhammad al-Makki al-Kattani, Mufti Maliki
3)       Shaykh Muhammad As‘ad al-Abaji, Mufti Shafi‘i
4)       Shaykh As-Sayyid Muhammad Salih al-Farfur
5)       Shaykh Hasan Habannakah al-Maydani
6)       Shaykh Abd-al-Aziz ‘Uyun al-Sud al-Himsi
7)       Shaykh Muhammad Sa‘id al-Idlabi al-Rifa‘i

Dari Mesir:

1)      Shaykh As-Sayyid Muhammad al-Hafiz al-Tijani, Imam Hadith di Mesir
2)      Shaykh Hasanayn Muhammad Makhluf, Mufti Mesir
3)      Shaykh Salih al-Ja‘fari, Imam Masjid Al-Azhar
4)      Shaykh Amin Mahmud Khattab al-Subki
5)      Shaykh Muhammad al-‘Aquri
6)      Shaykh Hasan al-‘Adawi
7)      Shaykh As-Sayyid Muhammad Abu-al-‘Uyun al-Khalwati
8)      Shaykh Dr. Abd-al-Halim Mahmud, Syeihkul Azhar

Dari Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Libya dan Tunisia):

1)              Shaykh As-Sayyid As-Sharif Abd-al-Kabir al-Saqali al-Mahi
2)              Shaykh As-Sayyid Abd-Allah bin Al-Siddiq Al-Ghimari, Imam Hadith
3)              Shaykh As-Sayyid Abd-al-Aziz bin Al-Siddiq al-Ghimari
4)              As-Sharif Idris al-Sanusi, Raja Libya
5)              Shaykh Muhammad At-Tahir ibn ‘Ashur, Imam Zaytunah, Tunis
6)              Shaykh al-Tayyib Al-Muhaji al-Jaza’iri
7)              Shaykh Al-Faruqi Al-Rahhali Al-Marrakashi
8)              Shaykh As-Sayyid As-Sharif Muhammad al-Muntasir al-Kattani

Dari Sudan:

1)      Shaykh Yusuf Hamad An-Nil
2)      Shaykh Muddassir Ibrahim
3)      Shaykh Ibrahim Abu-an-Nur
4)      Shaykh At-Tayyib Abu-Qinayah

Dari Rantau Indo-Pak:

1)      Shaykh Abu-al-Wafa al-Afghani Al-Hanafi
2)      Shaykh Abd-al-Mu‘id Khan Hyderabadi
3)      Al-Imam Al’Arif Billah Mustafa Rida Khan al-Barelawi, Mufti India
4)      Mufti Muhammad Shafi’ Al-Deobandi, Mufti Pakistan
5)      Mawlana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi, Imam Hadith
6)      Mawlana Zafar Ahmad Thanawi
7)      Shaykh Al-Muhaddith Habib-al-Rahman Al-‘Azami
8)      Sayyid Abu-al-Hasan Ali An-Nadawi

Senarai ini hanya merupakan ulamak masyhur yang Syaikh kita telah mendapat ijazah darinya, dan di sana terdapat ramai lagi yang tidak disebutkan. Pada As-sayyid Muhammad Alawi, seseorang akan mendapati nilai terbaik dari para Masyaikh ini dalam pelabagai latarbelakang dan pengkhususan.

Karier Mengajar

Kalimah karier sebenarnya mungkin tidak sesuai untuk digunakan untuk menggambarkan aktiviti mengajar As-Sayyid Muhammad, kerana kalimah ini amat hampir kaitannya dengan keuntungan material. Sementara beliau, seperti mana Masyaikh tradisi yang lain, juga seperti keturunannya sebelum beliau, mengajar hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan keuntungan material langsung.

Malahan, beliau menempatkan sejumlah besar pelajar di rumahnya sendiri, menyediakan untuk mereka makan minum, penginapan, pakaian, kitab-kitab serta segala keperluan mereka. Sebagai balasan, mereka hanya diminta mengikuti peraturan dan etika penuntut ilmu agama yang suci. Pelajar-pelajar ini biasanya menetap bersama beliau bertahun-tahun lamanya, mempelajari pelbagai cabang ilmu Islam, dan seterusnya kembali ke negeri masing-masing. Ratusan dari para pelajar telah menuntut di kaki beliau dan telah menjadi pelopor pengetahuan Islam dan kerohanian di negara mereka, terutamanya di Indonesia, Malaysia, Mesir, Yaman dan Dubai.

Bagaimanapun apabila pulang dari Al-Azhar, beliau dilantik sebagai Profesor Pengajian Islam di Universiti Ummul Qura di Makkah, yang mana beliau telah mengajar sejak tahun 1970.

Pada tahun 1971, sebaik bapanya meninggal dunia, para ulamak Makkah meminta beliau untuk menggantikan tempat bapanya sebagai guru di Masjidil Haram. Beliau menerimanya, lantas menduduki kedudukan yang telah diduduki oleh keluarganya lebih dari seabad. Beliau juga kadang kala mengajar di Masjid Nabi di Madinah. Kuliah pengajian beliau merupakan kuliah yang paling ramai dihadiri di kedua-dua Tanah Haram.

Bagaimanapun pada awal tahun 80-an, beliau telah mengosongkan kedudukan mengajarnya di Universiti Ummul Qura juga kerusi warisannya di Masjidil Haram, memandangkan fatwa dari sebahgian ulamak fanatik fahaman Wahhabi, yang menganggap kewujudannya sebagai ancaman kepada ideologi dan kekuasaan mereka.

Sejak itu, beliau mengajar kitab-kitab agung Hadith, Fiqh, Tafsir dan Tasawwuf di rumah dan masjidnya di Jalan Al-Maliki di Daerah Rusayfah, Makkah. Kuliah-kuliah umumnya antara waktu Maghrib dan Isyak dihadiri tidak kurang daripada 500 orang setiap hari. Ramai pelajarnya daripada Universiti menghadiri pengajiannya di waktu malam. Sehingga malam sebelum beliau meninggal dunia, majlisnya dipenuhi penuntut.

Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki amat dihormati oleh Kerajaan Arab Saudi dan selalu diminta nasihat dari Raja sendiri dalam urusan-urusan yang penting. Beliau juga dilantik sebagai ketua juri dalam Musabaqah Qur’an antarabangsa di Makkah selama tiga tahun berturut-turut.

Tulisan Beliau

Sayyid Muhammad merupakan seorang penulis prolifik dan telah menghasilkan hampir seratus buah kitab. Beliau telah menulis dalam pelbagai topik agama, undang-undang, social serta sejarah, dan kebanyakan bukunya dianggap sebagai rujukan utama dan perintis kepada topik yang dibicarakan dan dicadangkan sebagai buku teks di Institusi-institusi Islam di seluruh dunia.

Kita sebutkan sebahagian hasilnya dalam pelbagai bidang:

Aqidah:

1)      Mafahim Yajib an Tusahhah
2)      Manhaj As-salaf fi Fahm An-Nusus
3)      At-Tahzir min al-Mujazafah bit-Takfir
4)      Huwa Allah
5)      Qul Hazihi Sabeeli
6)      Sharh ‘Aqidat al-‘Awam

Tafsir:

1)      Zubdat al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an
2)      Wa Huwa bi al-Ufuq al-‘A’la
3)      Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ulum al-Quran
4)      Hawl Khasa’is al-Quran

Hadith:

1)      Al-Manhal al-Latif fi Usul al-Hadith al-Sharif
2)      Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi ‘Ilm Mustalah al-Hadith
3)      Fadl al-Muwatta wa Inayat al-Ummah al-Islamiyyah bihi
4)      Anwar al-Masalik fi al-Muqaranah bayn Riwayat al-Muwatta lil-Imam Malik

Sirah:

1)      Muhammad (Sallallahu Alaihi Wasallam) al-Insan al-Kamil
2)      Tarikh al-Hawadith wa al-Ahwal al-Nabawiyyah
3)      ‘Urf al-Ta’rif bi al-Mawlid al-Sharif
4)      Al-Anwar al-Bahiyyah fi Isra wa M’iraj Khayr al-Bariyyah
5)      Al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah
6)      Zikriyat wa Munasabat
7)      Al-Bushra fi Manaqib al-Sayyidah Khadijah al-Kubra

Usul:

1)      Al-Qawa‘id al-Asasiyyah fi Usul al-Fiqh
2)      Sharh Manzumat al-Waraqat fi Usul al-Fiqh
3)      Mafhum at-Tatawwur wa altTajdid fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah

Fiqh:

1)      Al-Risalah al-Islamiyyah Kamaluha wa Khuluduha wa ‘Alamiyyatuha
2)      Labbayk Allahumma Labbayk
3)      Al-Ziyarah al-Nabawiyyah bayn as-Shar‘iyyah wa al-Bid‘iyyah
4)      Shifa’ al-Fu’ad bi Ziyarat Khayr al-‘Ibad
5)      Hawl al-Ihtifal bi Zikra al-Mawlid al-Nabawi al-Sharif
6)      Al-Madh al-Nabawi bayn al-Ghuluww wa al-Insaf

Tasawwuf:

1)      Shawariq al-Anwar min Ad‘iyat al-Sadah al-Akhyar
2)      Abwab al-Faraj
3)      Al-Mukhtar min Kalam al-Akhyar
4)      Al-Husun al-Mani‘ah
5)      Mukhtasar Shawariq al-Anwar

Lain-lain:

1)      Fi Rihab al-Bayt al-Haram (Sejarah Makkah)
2)      Al-Mustashriqun Bayn al-Insaf wa al-‘Asabiyyah (Kajian Berkaitan Orientalis)
3)      Silatu Riyadhah Biddin (Hubungan Sukan dengan Agama)
4)      Al-Qudwah al-Hasanah fi Manhaj al-Da‘wah ila Allah (Teknik Dawah)
5)      Ma La ‘Aynun Ra’at (Butiran Syurga)
6)      Nizam al-Usrah fi al-Islam (Peraturan Keluarga Islam)
7)      Al-Muslimun Bayn al-Waqi‘ wa al-Tajribah (Muslimun, Antara Realiti dan Pengalaman)
8)      Kashf al-Ghummah (Ganjaran Membantu Muslimin)
9)      Ad-Dawah al-Islahiyyah (Dakwah Pembaharuan)
10)  Fi Sabil al-Huda wa al-Rashad (Koleksi Ucapan)
11)  Sharaf al-Ummah al-Islamiyyah (Kemulian Ummah Islamiyyah)
12)  Usul at-Tarbiyah al-Nabawiyyah (Metodologi Pendidikan Nabawi)
13)  Nur an-Nibras fi Asanid al-Jadd as-Sayyid Abbas (Kumpulan Ijazah Datuk beliau, As-Sayyid Abbas)
14)  Al-‘Uqud al-Lu’luiyyah fi al-Asanid al-Alawiyyah (Kumpulan Ijazah Bapa beliau, As-Sayyid Alawi)
15)  Al-Tali‘ al-Sa‘id al-Muntakhab min al-Musalsalat wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)
16)  Al-‘Iqd al-Farid al-Mukhtasar min al-Athbah wa al-Asanid (Kumpulan Ijazah)

Senarai di atas merupakan antara kitab As-Sayyid Muhammad yang telah dihasilkan dan diterbitkan. Terdapat banyak lagi kitab yang tidak disebutkan dan juga yang belum dicetak.

Kita juga tidak menyebutkan banyak penghasilan turath yang telah dikaji, dan diterbitkan buat pertama kali, dengan nota kaki dan komentar dari As-Sayyid Muhammad. Secara keseluruhannya, sumbangan As-Sayyid Muhammad amat agung.

Banyak hasil kerja As-Sayyid Muhammad telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa.

Aktiviti lain

As-Sayyid Muhammad merupakan seorang pembimbing kepada ajaran dan kerohanian Islam yang sebenar dan telah bermusafir ke serata Asia, Afrika, Eropah dan Amerika, menyeru manusia ke arah kalimah Allah dan Rasul terakhir-Nya Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam.

Di Asia Tenggara khasnya, As-Sayyid Muhammad secara peribadi telah mengasaskan dan membiayai lebih 70 buah Sekolah Islam untuk melawan aktiviti dakyah Kristian. Sejumlah besar penganut Kristian dan Budha telah memeluk Islam di tangannya hanya setelah melihat Nur Muhammad yang bersinar di wajahnya.

Ke mana sahaja beliau pergi, para pemimpin, ulamak dan masyarakat di tempat tersebut akan menyambutnya dengan penuh meriah. Beliau seringkali memberi ceramah kepada ratusan ribu manusia.

Beliau amat disayangi dan dicintai oleh Muslimin di seluruh dunia, bukan sahaja kerana beliau keturunan Rasulullah, tetapi juga kerana ilmunya yang luas, hikmahnya, akhlak serta watak rohaninya. Beliau juga amat terkenal amat pemurah dengan ilmu, kekayaan dan masanya.

Pendekatan

As-Sayyid Muhammad mengikuti dan menyelusuri tradisi arus utama dan majoriti Islam, jalan Ahlu Sunnah Waljamaah, jalan toleransi dan sederhana, pengetahuan dan kerohanian, serta kesatuan dalam kepelbagaian.

Beliau percaya kepada prinsip berpegang dengan empat mazhab yang masyhur, tetapi tanpa fanatik. Beliau mengajar rasa hormat kepada ulamak dan Awliyak agung yang lepas.

Beliau menentang sikap sewenang-wenangnya mengatakan Muslim lain sebagai Kafir dan Musyrik, yang telah menjadi tanda dan sifat utama sebahagian fahaman hari ini.

Beliau amat menentang dan kritis terhadap mereka yang digelar reformis (Islah) abad ke-20 yang dengan mudah ingin menghapuskan Islam generasi terdahulu menggunakan nama Islam yang suci.

Beliau juga memahami bahawa mencela kesemua Ash’ari, atau kesemua Hanafi, Syafi’e dan Maliki, kesemua sufi, seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian fahaman hari ini adalah sama dengan mencela keseluruhan Ummah Islam ribuan tahun yang lampau. Ia hanya merupakan sifat dan pendekatan musuh Islam, dan bukannya rakan.

Sayyid Muhammad juga amat mempercayai bahawa ulamak – ulamak Mazhab yang agung - mengikuti Sunni-Sufi - sejak beratus tahun yang lalu, adalah penghubung kita kepada Al-Quran dan Assunnah, dan bukanlah penghalang antara keduanya dengan kita, seperti yang dipercayai sesetengah pihak.

Kefahaman yang benar berkenaan Al-Quran dan Sunnah ialah kefahaman yang berasaskan tafsiran para ulamak agung Islam, dan bukan dengan sangkaan para ekstrimis zaman moden ini yang tidak berfikir dua kali sebelum mencela majoriti Muslim di seluruh dunia. Sayyid Muhammad juga berpendapat majoriti ummah ini adalah baik. Kumpulan-kumpulan minoriti yang fanatiklah yang perlu mengkaji semula fahaman ekstrim mereka.

Sayyid Muhammad merupakan pendukung sebenar Sufi yang berasaskan Syariah, Sufi para Awliya’ agung dan solehin ummah ini. Beliau sendiri merupakan mahaguru kerohanian di tingkat yang tertinggi, berhubungan dengan kebanyakan peraturan kerohanian Islam, melalui para Masyaikh Tariqah yang agung.

Beliau turut mempercayai bahawa membaca Zikir, samaada secara bersendirian atau berkumpulan, adalah bahagian penting dalam kerohanian seseorang. Semua pelajarnya dimestikan bertahajjud dan membaca wirid pagi dan petang.

Sayyid Muhammad juga beranggapan, ummat Islam perlu menggunakan segala hasil yang ada untuk meningkatkan taraf ummah mereka dari sudut kerohanian, masyarakat dan juga material, dan tidak membuang masa yang berharga dengan berbalah pada perkara-perkara kecil. Beliau percaya Muslim tidak seharusnya mencela satu sama lain dalam perkara yang telah diselisihkan oleh para ulamak. Mereka sebaliknya perlu berganding bahu bersama untuk memerangi apa yang telah disepekati sebagai kejahatan dan dosa.

Pandangan dan pendirian Sayyid Muhammad ini digambarkan dalam tulisannya yang terkenal, Mafahim Yajib An Tusahhah (Kefahaman Yang Perlu Diperbetulkan), sebuah buku yang mendapat penghargaan meluas di seluruh dunia Islam dan diiktiraf tinggi di lingkaran para ulamak.

Penutup

Tidak diragui lagi, kehadiran Sayyid Muhammad Alawi merupakan rahmat buat ummah ini. Beliau merupakan waris kepada kekasih kita Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam dari sudut darah daging serta kerohanian. Masyarakat Makkah dan Madinah teramat mencintai beliau seperti mana dilihat pada solat jenazah beliau.

Siapa sahaja yang pernah menemui beliau jatuh cinta dengan beliau. Rumahnya di kota suci Makkah sentiasa terbuka sepanjang tahun untuk ulamak dan para penuntut yang menziarahi, ribuan orang yang menuju kepadanya. Beliau juga tidak kenal erti takut dalam berkata yang benar dan telah mengalami detik-detik kepayahan kerana kebenaran. Walaubagaimanapun pertolongan Allah kelihatan sentiasa bersama dengannya. RadhiyAllahu Anhu WaArdhaah. Ameen.

Maklumat lanjut kehidupan dan pencapaiannya boleh dirujuk biografinya yang hebat bertajuk, Al-Maliki ‘Alim Hijjaz, karangan penulis dan sejarahwan terkenal Makkah, Dr Zuhayr  Kutbi.

Pemergiannya

Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan (bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan), dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat mengejutkan.

Benar.. Ia adalah satu kehilangan yang besar.. Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia Islam. Solat janazah beliau dilakukan di seluruh pelusuk dunia.

Beliau telah pergi pada bulan Ramadhan dan pada hari Jumaat.

Saya adalah antara yang menunaikan solat jenazah (pertama di rumah beliau diimamkan oleh adiknya As-Sayyid Abbas, dan seterusnya di Masjidil Haram dengan Imam Subayl)… Ratusan ribu manusia membanjiri upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih… Ia merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan… Allahu Akbar…

Betapa hebatnya beliau… betapa besarnya kehilangan ini… Betapa ramainya yang menyembahyangkannya… Saya tahu mata saya tidak pernah menyaksikan seorang spertinya… Seorang yang amat dicintai oleh masyarakat seperti beliau… seorang ulamak yang berkaliber dan berpengetahuan serta berhikmah…

Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di perkuburan Ma’ala untuk mengawal ribuan orang yang menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah perkuburan.

Beliau disemadikan di sebelah bapanya, berhampiran maqam nendanya Sayyidah Khadijah. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau ada menghubungi seorang pelajar lamanya di Indonesia melalui telefon dan bertanyanya adakah dia akan datang ke Makkah pada bulan Ramadhan. Apabila dia menjawab tidak, Sayyid Muhammad bertanya pula, "tidakkah engkau mahu menghadiri penegebumianku?"

Tepat sekali, beliau pergi pada bulan Ramadhan di pagi Jumaat… apakah lagi bukti yang diperlukan menunjukkan penerimaan Allah?! Makkah menangisi pemergiannya… Seluruh dunia Islam menangisi kehilangannya. Moga Allah menganugerahkan beliau tempat yang tertinggi di Jannah, bersama-sama kekasihnya dan datuknya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Ameen.

Selesai diterjemah pada :
1.20 Petang, 26 Ramadhan 1425H di Haiyyu Sabiek, Kaherah.

Wallahu A’lam. Wassollahu Ala Saiyidina Rasulillah WaAla Alihi Wasohbihi Waman Walah, Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

UmumJanuary 8, 2007 3:54 pm

Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki

Umum 3:47 pm

 

(Disiarkan dalam Utusan Malaysia 2006)

REMBAU 27 Nov. _ Ketika sebahagian besar remaja menghabiskan masa di tempat yang tidak berfaedah sekumpulan lebih 100 pelajar dari usia 6 hingga 16 tahun memilih untuk memperkukuhkan jati diri melalui program Pemantapan Fardhu Ain anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) di sini.

    Program yang bermula hari ini berakhir 10 Disember itu, dihadiri golongan remaja dari Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Penyelaras Program YSNS, Mohd. Hanif Abd Hamid berkata, sambutan yang menggalakan itu disebabkan timbulnya kesedaran di kalangan ibu dan bapa pelajar, terhadap keperluan pemantapan diri, sekali gus menghindarkan anak-anak mereka dari terjebak ke dalam agenda yang tidak bermaruah.

    "Tahun lalu, kita menerima 50 pelajar dalam program yang sama, tetapi tahun ini kita menerima seramai 102 pelajar lelaki dan perempuan, yang mana tidak termasuk anak-anak yatim yang sedia ada berjumlah 30 orang," katanya di sini hari ini.

    Katanya, program ini meliputi pengajian amali solat, tauhid, amali jawi, tajwid, pemantapan bacaan al-Quran, hadis, latihan dalam kelas, motivasi, aktiviti riadah dan Program Sehari Bersama Bomba dan Penyelamat.

     "Kita mahu menerapkan ilmu dan membimbing mereka dengan jalan yang betul daripada tenaga pengajar (fasilitator) bertauliah yang berkelulusan Universiti Al Azhar. Saya yakin, pelajar yang menyertai program selama dua minggu ini akan mendapat manfaat daripadanya," katanya.

      Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Kuala Lumpur, Jannatul Izzati Norazmi, 13 berkata, ini pengalaman pertamanya menyertai program sebegini.

      "Saya memilih untuk hadir dalam program ini kerana mahu belajar asas fardhu ain dan pada masa yang sama bersedia menerima bimbingan daripada guru-guru di sini. Saya seronok, walaupun ada rakan-rakan saya yang memilih untuk melancong," katanya.

       Nur Syairah Amran, 13 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor memberitahu, dia begitu berminat menyertai program di sini, sebaik sahaja dimaklumkan oleh ibu bapanya.

        "Di sini, saya berharap dapat memperkukuhkan jati diri sepanjang dua minggu menuntut ilmu. Saya akan pastikan, apa yang diajar benar-benar diterima dan diguna pakai dalam kehidupan seharian. Saya tidak sabar untuk terus mendengar kalam yang diajar oleh fasilitator," ujarnya.

        Bagi Tariq Jaffri Mohd Akbar, 16 yang merupakan pelajar Maahad Ahmadi, Gemencheh berkata, dia yakin program yang disertainya ini dapat mendidik jiwa rohani dan menghindarkan daripada membuang masa di tempat yang tidak berfaedah.

        Manakala Khairul Anam Razifkhir, 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Melaka memberitahu, kali pertama menyertai program ini, dia sudah dapat melihat kelainannya kerana di sini pelajar didedahkan dengan banyak ilmu yang ada hubung kaitnya dengan fardhu ain.

         "Dalam usia yang muda ini, kami perlu belajar asas fardhu ain. Kami memerlukan bimbingan dan sebab itulah saya memilih untuk datang ke sini. Inilah tempatnya di mana saya boleh menimba ilmu," ujarnya.

         Majlis penerimaan pelajar itu di sini hari ini disaksikan Yang Dipertua YSNS, Mohd Shukor Sabudin serta jawatankuasa peringkat negeri. - YSNS 

<img src=’/images/RIMG4259.JPG’ alt='’ />

Umum 3:45 pm

Umum 3:43 pm

 

Berita ANAK YATIM 2006

SEREMBAN  _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) membuka permohonan di kalangan anak yatim seluruh negara yang berminat mendiami asramanya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau supaya segera berbuat demikian selewat-lewatnya 22 Disember 2006.

   Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, pihak YSNS mensasarkan untuk kemasukan tahun hadapan, seramai 50 orang anak yatim lelaki dapat ditempatkan di asrama ini, di mana kesemua perbelanjaan mereka termasuk tempat tinggal, makan dan minum, pengangkutan dan sebagainya dibiayai sepenuhnya oleh yayasan ini.

   "Kita mahu mencari anak yatim yang berkelayakan untuk duduk bersama-sama di asrama yang disediakan dan di situ mereka akan diberikan didikan formal dan agama. Sementara persekolahan biasa, kesemua pelajar ini akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah berhampiran," katanya.

   Menurut beliau, ketika ini terdapat lebih 30 anak yatim dan mereka telah mendiami asrama itu sejak beberapa tahun lalu serta diberikan pendidikan agama dan formal dengan sebaiknya.

   "Ibu atau penjaga bolehlah menghubungi saya di talian, 019-6218621 atau sekretariat pengurusan, 019-6637785 (Anep) untuk sebarang pertanyaan," katanya.

    Mohd. Shukor juga menambah, pihak YSNS akan menerima pelajar anak yatim lelaki sahaja yang akan menduduki pengajian di Tahun 4 hingga Tingkatan Satu.

    "Kita tidak menerima pelajar anak yatim perempuan kerana tidak mempunyai kemudahan asrama yang mencukupi. Apabila projek pembangunan untuk membina asrama baru siap dalam waktu terdekat, kita akan mempunyai asrama lelaki dan perempuan yang lebih selesa," katanya.

    Sementara itu, YSNS juga akan mengendalikan ibadah korban sebagaimana yang dilakukan setiap tahun dan ia akan dikendalikan oleh jawatankuasa yayasan berkenaan di Chengkau.

    "Mereka yang berminat untuk menyertai ibadah korban ini, bolehlah berbuat demikian selewat-lewatnya pada 20 Disember 2006. Tahun lalu, kita mengendalikan ibadah korban membabitkan lebih 20 ekor lembu dan kambing. Ia dilakukan selama dua hari.

    "Kita menjangkakan bilangan itu akan bertambah dan petugas kita telah pun menyiapkan segala keperluan untuk tujuan tersebut," ujarnya.

     Mohd Shukor juga menambah, selain program berkenaan, YSNS juga akan menganjurkan Program Pemantapan Fardhu Ain semasa musim percutian persekolahan ini.

      "Pelajar yang mahu menyertai program ini hendaklah dari Tahun 4 hingga Tingkatan Tiga dan mereka akan mendiami asrama pelajar selama dua minggu. Tarikh tutup untuk menyertai program ini ialah 25 November 2006," ujarnya. - YSNS

Umum 3:42 pm

 

Berita 2006

REMBAU _ Yayasan Sofa Negeri Sembilan mencatat kejayaan apabila mengendalikan program ibadah korban selama dua hari berturut-turut dengan penyembelihan 14 ekor lembu dan dua ekor kambing biri-biri di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau.

   Yang Dipertuanya, Mohd Shukor Sabudin berkata, ibadah korban ini bermula sebaik selesai sembahyang Hari Raya Aidiladha semalam dan diteruskan hari ini selepas ia mendapat sambutan menggalakan di kalangan ahli dan beberapa individu.

  "Semalam kita mengendalikan penyembelihan tujuh ekor lembu dan seekor kambing biri-biri import dari Australia. Terdapat juga lembu yang dikorbankan diterima pada saat akhir dan ini menggembirakan pihak yayasan," katanya di sini hari ini.

   Menurut Mohd Shukor, program ibadah korban ini diketuai oleh Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin yang memulakan bacaan doa.  Semua binatang korban itu disembelih satu persatu dalam masa hampir sejam yang disaksikan kira-kira 500 jemaah dan ahli yayasan berkenaan.

   "Hari ini kira-kira tujuh ekor lembu lagi dan seekor kambing biri-biri tempatan dikorbankan di bangsal yang dibina khas untuk melaksanakan program ibadah korban ini," katanya.

    Tambahnya, tahun lalu yayasan ini mengendalikan penyembelihan korban sebanyak sembilan ekor lembu dan tahun ini ia bertambah selepas mendapat sambutan menggalakan.

    "Kesedaran umat Islam terhadap ibadah korban ini semakin meningkat dan atas sebab itulah mereka mahu menunaikan tanggungjawab berkenaan dan memilih yayasan ini mengendalikannya. Kita amat berbesar hati dan akan meneruskan lagi program ini pada masa hadapan dan meningkatkan bilangan binatang ternakan yang sedia untuk dikorbankan.

    "Sekiranya usaha ini mendapat perhatian ramai pada tahun hadapan, kita merancang untuk mengumpul dana ibadah korban dari sekarang supaya daging korban itu dapat diberikan kepada umat Islam yang berada dalam kepayahan, khususnya di Indonesia dan negara lain yang memerlukannya.

    "Kita serius memikirkan bagaimana daging korban ini dapat dihantar kepada mereka yang memerlukannya di luar negara pada program tahun hadapan," ujar Mohd Shukor.

   Dalam pada itu, yayasan ini juga menyediakan kemudahan asrama untuk anak yatim serta pengajian pondok bagi pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Untuk anak yatim, segala perbelanjaan, pakaian dan tempat tinggal disediakan secara percuma oleh yayasan ini sebagai sumbangannya untuk tujuan pembangunan agama Islam.

   "Dana untuk mengendalikan anak yatim ini diperoleh di kalangan ahli yayasan. Kita mempunyai lebih kurang 18 orang anak yatim dan 17 pelajar miskin yang kini dikendalikan oleh yayasan. Sehubungan itu, kita juga mengharapkan dana dari orang ramai supaya program menyara anak yatim ini dapat diteruskan dari masa ke semasa," ujarnya. - YSNS

Umum 3:40 pm

 

 (Disiarkan Utusan Malaysia 2006)

SEREMBAN _ Tokoh agama, Sheikh Muhamad Fuad Kamaludin, 34, merupakan penerima termuda Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sempena dengan majlis itu di dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban.

  Berdasarkan kepada usianya, beliau boleh dianggap sebagai setahun jagung tetapi dilihat kepada pencapaiannya yang telah menghasilkan 115 buah kitab agama dalam pelbagai disiplin, tanggapan itu ternyata tersasar.

  Beliau telah menghasilkan 44 buah kitab berkaitan amalan, 19 kitab mengenai hadis, 14 buah kitab berkaitan Fikah, 10 buah kitab berkaitan tokoh Islam, sembilan buah kitab Tasawwuf, sembilan buah kitab Tauhid, enam buah kitab Sejarah Islam dan tiga buah kitab Tafsir al-Quran

  Selain itu beliau juga telah menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya Syeikh Ahmad Muhammad al-Maliki dari Mekah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.

  Beliau yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenong, Chengkau, Rembau dekat sini telah mendapat pendidikan formalnya di Sekolah Kebangsaan Penajis, Rembau sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban dan Maahad Ahmadi, Gemencheh, Tampin.

  Dia kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke Ma’ahad Tahfiz wal Qiraat Masjid Khulafa’, Mesir dan Ma’ahad Orman Li al-Dirasat al-Lughah al-Arabiah.

  Anugerah khas beliau itu disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.

  Hadir sama pada majlis itu ialah Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

  Selain Muhamad Fuad, tiga lagi tokoh yang mendapat anugerah sama hari ini ialah Tan Sri Rashdan Baba, 71, seorang tokoh sains pertanian dan ekonomi yang bertanggungjawab membawa pulang syarikat perladangan getah terbesar di dunia, kumpulan Guthrie dari Bursa Saham London ke Malaysia.

  Dua lagi ialah Tan Sri Siti Norma Yaakob, 66, yang kini menjawat jawatan Hakim Besar Malaya dan Profesor Datuk Dr. Baharudin Yatim, 60, seorang pakar fizik.

Umum 3:36 pm

 

  (Disiarkan Utusan Malaysia ruangan Agama 2006)
  REMBAU _ Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 127 peringkat Negeri Sembilan, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, 32, walaupun telah berada di Bumi Para Anbia’, Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi telah berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

  Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan jumlah pelajar yang ramai.

  Tetapi anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian dari ‘kulit ke kulit’.

  Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal daripada seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan.

  Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengangkatnya sebagai anak angkat dan kesemua mereka telah memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia.

 Sehubungan itu Dr Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki kepada beliau.

  Dalam keadaan tertentu, Muhammad Fuad bukan sahaja mengunjungi guru-gurunya tetapi sebaliknya mereka sendiri yang berkunjung ke rumahnya untuk mengajar beliau.

  "Kadang-kadang sekiranya saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih Yang Mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau di sini.

  Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar itu memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

  Menurut Muhammad Fuad, beliau hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti itu, iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

  "Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka.

  "Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari sepanjang tempoh itu.

  "Saya akan pergi menadah kitab secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," katanya yang amat memuliakan kesemua gurunya.

  Bagaimanapun, beliau yang tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain itu telah diminta oleh rakan pelajar untuk mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti.

  Muhammad Fuad yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah mengenai perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam Bahasa Arab pada tahun 1993 setelah setahun berada di Mesir.

  Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata ini telah berjaya menghasilkan 115 buah kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli pengajian serta menjadi rujukan kepada ulama lain, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di luar negara.

  Kitab-kita tersebut ialah tiga buah kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 buah kitab karangan fikah, sembilan buah kitab karangan tasawuf, enam buah kitab karangan sirah, 10 buah kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

  Malah, beliau yang merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan, juga menulis 12 kitab bahasa Arab (Al Toli’al Sa’id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari) - kitab yang berkaitan ilmu hadis dan diterbitkan di Mesir.

  Kitab karangan beliau dalam bahasa Arab ini mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al Azhar, Mesir seperti Professor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti Al Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir Al Quran, al-Azhar.

  Ketokohan bukan sahaja diperakui di negara ini tetapi turut mendapat undangan memberikan ceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

  Menceritakan proses penulisan buku, beliau mensyaratkan dirinya untuk menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

  Beliau juga akan menulis kitabnya tidak mengira masa walau di mana berada selagi ilham dan idea itu melimpah.

  "Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu kepada keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah merupakan maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

  Beliau bagaimanapun mengakui terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab dalam pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

  "Sebagai contoh ialah Ibn Shahin yang telah menulis 33,000 buah kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari telah menulis lebih 600 jilid kita dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah syaratkan dirinya untuk menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

  "Tanpa elektrik, komputer dan internet mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini, maka tidak mustahil bagi kita yang memiliki segalanya untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  Setelah kembali ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan ini telah membuka pondok pengajiannya di kawasan setengah ekar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17.

  Kemudian, ahli pengajiannya semakin bertambah sehingga memerlukan kawasan yang lebih besar dan selesa, maka kawasan seluas kira-kira 4 hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

  Ditanya mengenai sambutan orang ramai terhadap usaha dakwahnya memandangkan usianya yang boleh dikira sebagai setahun jagung, iaitu hanya 22 tahun semasa menubuhkan pondok itu.

  Beliau sambil merenung jauh menjawab dengan menyebut petikan pujangga Arab yang bermaksud:" Bahawa orang-orang yang dikurniakan nikmat (termasuk ilmu pengetahuan) akan dikelilingi oleh mereka yang berhasad dengki".

  Katanya, pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya seperti dikatakan membawa fahaman yang sesat.

  "Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredhaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan masyarakat mulai dapat menerima usaha yang dijalankan," katanya.

  Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

  "Saya tak merasa tekanan, saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.

  Menyedari usaha dakwah sejak zaman Rasulullah lagi tidak pernah sunyi daripada hasutan dan tipu helah syaitan untuk terus menghasut manusia supaya tidak menerima perkara baik dan meneruskan kejahatan.

  Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya dari Pencipta. - YSNS

Umum 7:40 am

            Yayasan Sofa Negeri Sembilan (0202-04-9) telah didaftarkan pada 17 Februari 2004, yang beralamat di Kampung Bukit Sembilan, 71350 Kota, Negeri Sembilan. Yayasan Sofa ditubuhkan dengan tujuan :

• Mewujudkan suatu dana atau tabung amanah bagi membiayai program-program Yayasan yang berbentuk keilmuan (dakwah) dan kebajikan.

• Memegang amanah dan menguruskan harta individu atau organisasi untuk manafaat kebajikan.

• Memberikan bantuan kepada pelajar miskin dan anak yatim untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran.

• Memiliki harta dan aset-aset bagi melaksanakan program pendidikan untuk untuk kepentingan masyarakat.

PROGRAM ANAK YATIM DAN GOLONGAN DUA’FA’ Yayasan Sofa Negeri Sembilan telah menjalankan Program Pengambilan Anak Yatim dan Miskin yang di tempatkan di Kediaman Kg. Bukit Sembilan Chengkau Ulu, 71300 Kota, Negeri Sembilan bermula sejak sesi 2005 yang lalu.

YSNS merancang untuk mengumpulkan pelajar Anak-anak Yatim dan Miskin ini sehingga 200 orang pelajar. Segala kos bagi kelengkapan, pakaian sekolah dan penginapan serta makanan pelajar ini ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan secara PERCUMA.

Mereka bersekolah di sekolah kerajaan yang berhampiran, iaitu di Sekolah Men. Keb. Astana Raja, 71300 Rembau Negeri Sembilan dan Sekolah Kebangsaan Chengkau, 71300 Rembau, N. Sembilan.

Berbagai Program Pendidikan Agama Islam disediakan di kediaman ini dan pelajar-pelajar berpeluang mempelajari lebih dekat Ilmu-Ilmu Agama serta pengajian kitab. Setiap pelajar tertakluk kepada peraturan dan disiplin Asrama yang disediakan bagi melicinkan setiap aktiviti harian pelajar. Kegagalan untuk mematuhi sebarang peraturan asrama ini akan dikenakan tindakan.

PENGAMBILAN PELAJAR SESI PERSEKOLAHAN 2007

Alhamdulillah, lebih dari 70 permohonan yang diterima dan setelah dibuat tapisan tertentu , hanya 50 orang pelajar sahaja, terdiri daripada Tahun 4 hingga Tingkatan 3, yang diterima masuk. Tahap umur di antara 10 hingga 15 tahun ini adalah sesuai kerana tahap pendidikan kanak-kanak seusia ini adalah paling cepat berkembang dan mereka mampu untuk berdikari. Adalah dijangkakan bahawa kanak-kanak itu akan berpeluang untuk mengikut pendidikan awalannya di sini selama tempoh 6 tahun ( Tahun 4 hingga Tingkatan 3 ).

Alhamdulillah, program ini telah berjalan lancer walaupun terdapat beberapa kekurangan dan masalah, khasnya dari segi kemudahan pengangkutan, peralatan dan kos perbelanjaan. Oleh itu dalam tempoh terdekat ini, Yayasan ini sedang berusaha untuk mendapat sebuah pengangkutan / bas / van bagi memenuhi keadaan dan keperluan penuntut ilmu dan ana-anak ini.

SUMBER KEWANGAN

Untuk mendapatkan dana dan sumber kewangan bagi menampung kos pembiayaan Anak-anak Yatim dan Miskin ini, yuran dan derma di kalangan ahli telah pun dilaksanakan disamping :

1. Ahli-ahli Yayasan Sofa bersetuju untuk menjadikan anak-anak yatim dan miskin ini sebagai anak-anak dan keluarga angkat mereka dengan membentuk kumpulan dan berkongsi untuk membantu segala kos pembiayaan bagi seseorang pelajar itu.

2. Sumbangan bantuan / derma dari orang perseorangan dan pihak kerajaan dan syarikat swasta yang diterima dari masa ke semasa dalam membantu meningkatkan dana Yayasan Sofa.

3. Mengadakan program atau kursus yang boleh mendatangkan dana seperti kursus amali dan praktikal solat, kursus pemahaman fardhu ain , tafaqquh fi al din, kelas tahsin Al-Quran, kem cuti sekolah dan motivasi, tiusyen dan sebagainya.

4. Berusaha mendapatkan berbagai tajaan dan sponsor dalam bentuk barangan dan alatan untuk melengkapkan keperluan perkara yang berkaitan dengan pelajar anak-anak yatim dan miskin ini.

Yayasan Sofa sentiasa mengharapkan bantuan, kerjasama dan sumbangan, idea dan pandangan, demi meningkatkan lagi pencapaian dakwah dan perkembangan pendidikan serta kebajikan terhadap Anak Yatim dan Miskin serta golongan Dua’fa’ ini.

Kami mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan atau sumbangan demi kebaikan dan kebajikan yang lebih menyeluruh terhadap penuntut-penuntut ilmu ini.

Sebarang bentuk bantuan , pertanyaan, sumbangan @ untuk keterangan lanjut, sila hubungi kami di talian : 019-663 7785 @ 019-227 9226 Akaun RHB No. : 25504700001867