Usianya baru 34 tahun tetapi jasanya kepada perkembangan ilmu Islam amat membanggakan apabila berjaya menghasilkan 115 kitab agama dalam pelbagai disiplin. Dalam usia semuda itu, Muhamad Fuad Kamaludin telah menulis 44 buah kitab amalan, 19 kitab hadis, 14 kitab fikah dan 10 kitab tokoh Islam.
Bukan setakat itu sahaja, pemuda dari Kampung Chenong, Chengkau di Rembau ini juga menghasilkan sembilan kitab tasawuf, sembilan kitab tauhid, enam kitab sejarah Islam dan tiga kitab tafsir al-Quran.
Keistimewaan itu melayakkannya menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 daripada kerajaan Negeri Sembilan tahun 2006, pada awal tahun yang lalu- penerima termuda untuk anugerah tersebut. Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini.
Muhamad Fuad yang mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Penajis, Rembau pernah menjadi murid kepada beberapa ulama terkenal seperti Syeikh Muhammad bin Alawi al Maliki al Hasani dari Mekah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yaman, Dubai dan Sudan. Beliau yang dilahirkan pada 16 September 1974 ini belajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban dan Maahad Ahmadi, Gemencheh, Tampin.
Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Ma’ahad Tahfiz wal Qiraat Masjid Khulafa’, Mesir dan Ma’ahad Orman Li al-Dirasat al-Lughah al-Arabiah. Muhamad Fuad kini merupakan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan sejak 2003. Beliau juga merupakan pengasas madrasah Kampung Bukit Sembilan, Chengkau dan madrasah Kampung Chenong, Chengkau dan membimbing anak yatim yang lemah, selain memastikan mereka mendapat pendidikan dunia dan akhirat.
Kata Muhamad Fuad, beliau mendapat dorongan menulis kitab daripada Syeikh Ahmad Muhammad bin Alawi Al Maliki dan Almarhum Datuk Mursyid Diraja Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Selain menulis kitab dalam bahasa kebangsaan, beliau turut menulis 12 kitab bahasa Arab dan diterbitkan di Mesir.
Beliau juga turut dijemput untuk memberikan ceramah dan kuliah di Singapura dan Mesir. ‘’ Saya mensyaratkan menulis sekurang-kurang empat buah kitab dalam sebulan. Inilah yang menjadi disiplin diri saya sehingga dapat menerbitkan 115 buku. Kitab yang saya tulis ini akan menjadi bahan rujukan buat generasi akan datang,'’ katanya.
… al fatihah.




